MUNGKINKAH KERAJAAN CAMPURAN PR DAN BN JADI KENYATAAN ~ Ref Malaysiakini

Sehari dua ini timbul pula cerita baru iaitu cadangan penubuhan kerajaan campuran BN dan Pakatan Rakyat(PR). Idea ini dicetuskan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Mungkinkah ianya menjadi kenyataan?

Bekas Naib Presiden Umno itu mengesyorkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menerokai idea kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan untuk keluar daripada ketidaktentuan politik.

Memang ianya niat yang baik namun agak sukar untuk dilaksanakan lantaran kesombongan dan kebongkakan pemimpin Umno/BN sendiri yang seolah-olah liat benar untuk bertemu dengan pemimpin PR atas nama PR. Mereka boleh bertemu dengan pemimpin PAS sebelum ini tetapi susah untuk bertemu pemimpin PR atas mauduk membincangkan masa depan negara.

Malah Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sendiri menolak mentah-mentah surat Anwar Ibrahim yang dihantar beberapa minggu lepas atas pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

Ketua Umno Gua Musang itu telah mengetengahkan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Menurut Tengku Razaleigh usaha ke arah itu boleh mengguna pakai formula yang pernah diamalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1974 apabila membentuk BN, menggantikan Perikatan.

Dalam pertemuan tersebut, kata bekas Menteri Kewangan itu yang dipetik The Star berkata, beliau telah menyentuh kemungkinan merangka satu asas minimum bagi membentuk barisan kebangsaan yang baru - sebuah kerajaan hasil kejujuran dan keikhlasan demi perpaduan negara.

Kata beliau, langkah membawa parti-parti utama bersama BN akan membolehkan negara berhadapan dengan ujian dan cabaran ekoran perkembangan baru landskap politik selain situasi ekonomi global.

Sebagaimana disaksikan pada pilihan raya umum 1969, BN mengalami kekalahan di lima buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Bagi saya kerajaan campuran memang boleh dibentuk tetapi sudah tentu mempunyai banyak rintangannya.

Pertama, sudah pasti Umno akan meletakkan pelbagai syarat. Itupun jika mereka benar-benar berminat kerana kita tahu Umno memang tamakkan kuasa selagi mereka boleh bertahan sudah tentu mereka tidak 'kelapaq' untuk membentuk kerajaan campuran.

Bagi PAS dan DAP saya juga merasakan para pimpinan kedua-dua parti tersebut akan mengambil sikap yang amat berhati-hati dalam hal ini. PAS umpamanya mempunyai pengalaman pahit menyertai kerajaan campuran perikatan pada awal 70-an dulu. PAS ditendang seperti anjing kurap dari kerajaan campuran tersebut setelah Umno menjadi kuat dan gagah selepas kekalahan teruk mereka pada Pilihanraya Umum tahun 1969.

Begitu juga DAP saya pasti DAP sudah tentu mengkajinya dengan mendalam kerana di sana sudah ada parti-parti lain seperti MCA dan Gerakan yang mewakili orang Cina. Sudah tentu kerusi DAP di dalam kabinet amat terhad dan peranan mereka juga mungkin dikesampingkan.

Selain itu PAS, DAP, Umno dan PKR serta lain-lain parti sudah tentu meletakkan syarat masing-masing sebelum terbentuknya kerajaan campuran ini. PAS sudah pasti meletakkan agenda Islam diletakkan ditempat yang sewajarnya. Manakala lain-lain sudah tentu mahu bilangan tertentu di dalam kabinet.

Bagi saya rintangan untuk membentuk kerajaan campuran ini lebih hebat dari rintangan membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat. Namun usaha ke arah boleh diteruskan jika semua pihak bertolak ansur dan berlapang dada.

Kelmarin, Tengku Razaleigh yang menawarkan diri merebut kerusi Presiden Umno, mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar, bekas Menteri Kewangan itu juga ada menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu."

Ketika mengulas khabar angin bahawa sudah menyertai Pakatan Rakyat, Tengku Razaleigh berkata, beliau telah menemui pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas permintaan mereka mahu menemuinya untuk membincangkan masa depan negara.

"Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan," katanya. Malah desas-desus sedemikian pernah muncul tiga bulan lalu, yang beliau telah menemui pemimpin PAS di Parlimen dan ditawarkan memimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang.

"Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi," katanya.

Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa.

Comments