MELAKA BANJIR LAGI, ALI RUSTAM SIBUK KEMPEN?~ Ref Malaysiakini

Melaka banjir lagi! Tidak cukup dengan banjir yang melanda Melaka Tengah pada Hari Raya keempat dulu semalam pada hari raya kelima belas, Melaka banjir lagi!. Kali ini giliran penduduk kampung sekitar Asahan dan Jasin.

Sahabat saya blogger angkasanuri (angkasanuri.blogspot.com) melaporkan bahawa di antara kampung yang terlibat ialah kampung Rim (gambar). Air dilaporkan naik hingga ke paras pinggang di beberapa rumah penduduk kampung.

Banjir yang berlaku semalam menyebabkan sepanjang jalan ke kampung Rim hingga ke Asahan ditenggelami air.

Jelas sekali 'penyakit' banjir yang berlaku di Daerah Melaka Tengah baru-baru ini berjangkit pula ke Daerah Jasin.

Saya menggesa kerajaan Melaka khasnya Ketua Menteri supaya mengambil langkah drastik untuk berikhtiar mengatasi masalah ini. Memang kita tidak dapat melawan taqdir dan bala Allah ini tetapi kita mesti berusaha dan bertawakkal kepada Allah setelah kita berusaha sedaya upaya mengatasinya.

Namun saya kurang pasti dan kurang yakin bahawa yang kerajaan Melaka sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat dalam masalah banjir ini. Ini kerana kita lihat kerajaan negeri seolah-olah bersikap sambil lewa terhadap projek pembinaan longkang, parit dan saliran terutama di kawasan-kawasan di mana banyak projek pembangunan di jalankan. Akhirnya projek-projek ini menjadi bala kepada rakyat yang tinggal berhampiran dengan projek kerana sering dilanda banjir kilat yang tidak diundang.

Masalah perparitan dan saliran ini berlaku diseluruh negeri Melaka. Namun kerajaan negeri dan pihak berwajib seolah-olah berpuashati dengan keadaan sekarang sehingga rela melihat rakyat berada dalam keadaan kesusahan dan kesengsaraan.

Kerajaan negeri dilihat begitu kedekut untuk berbelanja bagi menyediakan prasarana untuk mengelakkan banjir tetapi begitu boros membelanjakan duit rakyat untuk projek-projek mewah dan membazir seperti pembinaan Eye On Melaka, Menara Taming Sari, Air Terjun Bukit Sebukor, Skrin Raksasa, Dataran Pahlawan dan lain-lain.

Dalam kesibukan rakyat Melaka meredah air dan mencuci rumah lantaran kelemahan dan ketidakperihatinan kerajaan negeri, Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam sibuk berkempen ke seluruh negara untuk mendapatkan pencalonan Timbalan Presiden Umno. Sekali sekala beliau turun padang untuk tunjukkan muka kepada penduduk kampung. Namun rakyat bukan mahu melihat muka beliau tetapi yang penting sekali ialah beliau mesti memimpin kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu banjir ini. Jangan sibukkan diri untuk mengejar pangkat dan kedudukan dalam Umno sahaja tetapi meninggalkan tanggungjawab mengatasi masalah rakyat khasnya banjir yang sering melanda Melaka akhir-akhir ini.

Lebih membimbangkan rakyat ialah musim tengkujuh hujung tahun semakin hampir dan sekarang ini pun hujan lebat sering turun di bumi bertuah ini. Adalah dijangkakan masalah banjir ini akan menjadi lebih rumit sebulan dua ini jika kerajaan negeri masih kekal lemah, lemau dan lembap dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu ini. Jangan nanti peristiwa banjir Disember 2006 berulang lagi.

Nampaknya rakyat negeri Melaka kemungkinan besar terpaksa meredah banjir lagi selepas ini jika sikap kerajaan negeri tidak berubah atau kerajaan negeri ini tidak ditukar dengan kerajaan lain. Atau mungkin juga kerajaan BN Melaka sudah muak dan tidak minat untuk memerintah. Jika demikian bubarkan Dewan Undangan Negeri dan serahkan tampuk pemerintahan kepada kami Pakatan Rakyat.

Kepada rakyat negeri ini marilah sama-sama kita berdoa agar Allah tidak menguji kita sekali lagi dengan bala seperti pada Disember 2006. Saya sendiri yakin tuan-tuan dan puan-puan sudah tidak sanggup menghadapinya sekali lagi. Saya sendiri sudah serik ....

Ya Allah jangan uji kami dengan ujian yang tidak sanggup kami hadapi. Amin.



Gambar dan Sumber : angkasanuri.blogspot.com

Comments