MANSUHKAN EKUITI 30 % : JIKA DAP KATA TENTU DITEMPELAK ~ Ref Malaysiakini

Nampaknya MCA semakin berani menuntut dan mencadangkan sesuatu yang baru dan agak sensitif sebelum ini. Walaupun MCA kalah teruk pada pilihanraya umum baru-baru ini MCA kelihatan semakin berani dan lantang sejak akhir-akhir ini. Perubahan sikap MCA ini mungkin dikerana pemimpin Umno yang ada pada hari ini adalah pemimpin lembik dan lemah.

Semalam MCA meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, ini kerana elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

Liow dalam kenyataannya kepada pemberita pada jamuan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Kuala Lumpur semalam menyatakan bahawa Ekuiti perlu dibuka dan diberikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu (syarikat senaraian awam) berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang semakin meruncing.

Saya tidak mahu mengulas kelantangan atau mungkin juga boleh diklasifikasikan sebagai celupar ini. MCA mempunyai hak untuk mencadangakan sedemikian.

Namun yang pasti jika cadangan ini dikemukakan oleh PKR, DAP atau mungkin juga PAS sudah tentu pemimpin-pemimpin dan Parti-parti Pakatan Rakyat ini akan ditempelak dan dicemuh oleh pemimpin Umno.

Tetapi pemimpin-pemimpin kelihatan menikus apabila kenyataan ini dibuat oleh teman sebantal mereka iaitu MCA. Walaupun sejak akhir-akhir ini mereka kelihatan terus tidur sebantal namun yang pasti mimpi mereka kerapkali berlainan.

Comments