KIT SIANG ZIARAH HJ HADI, PAKATAN RAKYAT KIAN INTIM ~ Ref Malaysiakini

Sebelum ini ramai pemerhati politik tidak menjangkakan PAS dan DAP akan berbaik semula selepas DAP keluar dari Barisan Alternatif selepas Pilihanraya Umum 1999. Semua orang tahu DAP cukup anti dengan Prinsip Negara Islam PAS dan acapkali pemimpin Kanan DAP membuat kenyataan tidak akan bersama dengan PAS kerana isu negara Islam.

Manakala di pihak PAS tiada masalah, PAS boleh berkawan dan berbincang dengan sesiapa jua hatta dengan Umno. Namun PAS mempunyai prinsip. Dalam setiap persahabatan dan perbincangan PAS tetap berpegang kepada prinsipnya iaitu tidak menggadaikan Islam. Sebab itu PAS awal-awal lagi menolak untuk bergabung dengan BN kerana BN jelas menolak Islam, Keadilan, ketelusan dan kebajikan. Sebaliknya BN terus bangga dengan dasar pragmatik bertunjangkan kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan sebagainya.

Atas dasar prinsip perjuangan dan persahabatan PAS tidak pernah memungkiri janji setia persahabatan. Fakta jelas tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Sejarah telah membuktikan bukan PAS yang sengaja keluar dari BN, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA) tetapi parti-parti sahabat yang tidak setia atau keluar dari gagasan dan gabungan tersebut. PAS tetap setia.

BA akhirnya bercerai berai dengan ditunjangi oleh PAS dan PKR setelah DAP keluar, APU berkubur tanpa nesan setelah Semangat 46 keluar dan tutup kedai.

Namun atas prinsip perjuangan menegakkan keadilan dan menjamin kebajikan rakyat PAS tetap komited untuk bersahabat dan 'berkahwin' lagi walaupun sudah beberapa kali bercerai.

Apabila PKR meneruskan hubungan dengan DAP, PAS tidak menentang malah bersedia untuk berbaik bila-bila masa. Oleh sebab itulah PAS bersedia untuk menganggotai kerajaan campuran di Selangor dan Perak sebaik sahaja Pilihanraya Umum ke 12 selesai walaupun sebelum itu PAS tidak mempunyai hubungan rasmi dengan DAP. Bayangkan betapa terbukanya PAS. Ini yang tidak dapat difikirkan oleh pemikir-pemikir BN yang menelek bahawa kerajaan PR terutama di Selangor dan Perak tidak akan bertahan lama. Namun semua jangkaan meleset.

Apabila Anwar melaung-laungkan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perseketuan yang baru menggantikan kerajaan 'puaka' BN, PAS tanpa berlengah terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Malah muktamar PAS di Ipoh pada pertengahan bulan Ogos lalu telah memberikan 'endorsement' bahawa PAS komited untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan.

Namun begitu PAS tetap dengan prinsip perjuangannya bahawa kerajaan baru yang akan ditubuhkan kelak mestilah meletakkan Islam sebagai tunjang atau setidak-tidak kerajaan baru itu didominasikan oleh orang Islam. PAS juga memberi peringatan bahawa kerajaan baru mestilah dibina di atas asas Islam, jangan sampai nanti berlaku seperti di Indonesia di mana anggota Gerakan Islam yang berjuang menuntut kemerdekaan tetapi bila merdeka Gerakan Islam dan Islam itu sendiri diketepikan. Malah PAS juga memberi amaran supaya kerajaan yang baru mestilah lebih baik dari kerajaan bobrok, zalim, rasuah dan tidak telus seperti kerajaan BN yang diruntuhkan.

Alhamdulillah kita melihat Pakatan Rakyat semakin intim baik di peringkat pusat maupun diperingkat kerajaan negeri-negeri. Walaupun pelbagai isu dilontarkan oleh musuh tetapi PR semkain utuh, intim dan matang.

Keintiman ini terbukti apabila jarang sekali kita mendengar kenyataan-kenyataan yang bercanggah antara pemimpin-pemimpin utama parti-parti komponen PR. Kalau sebelum ini mereka menggunakan media (atau dipergunakan oleh media) untuk berbalas-balas tuduhan dan cacian kini ianya jarang kelihatan malah tiada langsung.

Semalam keintiman DAP dan PAS kian terserlah apabila Pemimpin Kanan DAP, YB Lim Kit Siang menziarahi Presiden PAS, YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dirumahnya di Kampung Rusila, Marang.

Menurut Buletin Online kunjungan Kit Siang itu diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu. Mereka tiba di rumah Tuan Guru kira-kira jam 9.27 malam.

Dalam kunjungan itu, sambil beramah mesra mereka mengambil kesempatan untuk berbincang mengenai pelbagai isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Kesedian YB Kit Siang menziarahi Tuan Guru merupakan suatu perkembangan yang amat sihat dan baik demi masa depan PR. Ianya akan lebih meyakinkan rakyat bahawa tiada lagi masalah antara PAS dan DAP. Yang menangis ialah BN dan Umno kerana siang malam mereka mengharapkan PAS bercakaran dengan DAP.

Turut bersama dalam pertemuan sempena kunjungan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing.

Ng Chai Hing sendiri sememangnya bukan orang baru kepada PAS kerana beliau pernah menjadi Pembantu Khas kepada Tuan Guru Hj Hadi semasa Tuan Guru menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999-2004.

Beliau antara pemimpin DAP yang memilih untuk keluar dari DAP setelah DAP tidak membenarkan ahli-ahlinya memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu ketika itu.

Kini Chai Hing kembali menyertai DAP dan menubuhkan Penaja DAP di Kuala Terengganu. Adalah diharapkan semakin ramai kaum Tionghua menyertai DAP dalam usaha PR untuk merampas semula negeri Terengganu.

Comments