DATUK MELAKA MULA HILANG NILAI ~ Ref Malaysiakini

Oleh : Roslan SMS

Melaka hari ini merayakan ulangtahun kelahiran Yang Dipertuanya, Tuan Khalil yang ke 70.

Dan sebagaimana hari keputeraan Raja-raja Melayu (bagi negeri-negeri yang beraja) atau Yang Dipertua Negeri (bagi yang tidak beraja) bintang-bintang dan pingat kebesaran akan dianugerahkan kepada calon-calon yang telah berjasa atau berkhidmat serta menyumbang kepada kemajuan atau pembangunan negeri-negeri berkenaan. Pendek kata tokoh-tokoh perniagaan dan korporat, ahli-ahli politik, pegawai dan kakitangan kerajaan serta pasukan beruniform khasnya tentera dan polislah yang biasa menerima anugerah-anugerah ini.

Di Melaka saya perhatikan kali ini ada dua isu yang pasti mencetuskan kontroversi, ketidakpuasana hati malah cemuhan rakyat.

Pertama adalah keputusan kerajaan negeri menganugerahkan bintang kebesaran Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada pelakon dan bintang Bollywood Shah Rukh Khan yang membawa gelaran Datuk. Dan kedua keputusan menganugerahkan 77 bintang yan membawa gelaran Datuk.

Kita boleh menerima kiranya kerajaan negeri mahu menghargai sumbangan mereka yang terlibat dalam dunia seni. Antara artis yang telah menerima gelaran-gelaran ini termasuklah Siti Nurhaliza, M. Daud Kilau, Jamil Sulong dan malah ada yang bergelar Tan Sri seperti Allahyarham P. Ramli dan SM Salim. Mereka ini artis-artis tempatan, oleh itu wajarlah kiranya mereka mahu dipertimbangkan, tetapi bintang Bollywood? Apa jasa Shah Rukh kepada Melaka?

Kita bukan sahaja boleh pertikaikan malah keputusan ini saya percaya kini menjadi bahan senda –gurau dan gelak-ketawa, suatu yang mengaibkan kerajaan negeri dan mungkin juga menjunamkan harapan Ketua Menterinya untuk menang dalam pemilihan Umno nanti.

Isu kedua adalah ramainya bilangan yang diberi gelaran Datuk. Dalam keadaan Raja-raja Melayu sendiri sudah mula mengawal penganugerahan gelaran berprestij ini (Selangor mengawal manakala Johor baru-baru ini langsung tidak mengeluarkan anugerah ini) tiba-tiba Melaka yang tidak bersultan melahirkan 77 Datuk dalam sekelip mata! Datuk ini adalah anugerah tertinggi negeri dan sewajarnya dihadkan bilangannya agar ia kekal bermakna dan hanya dikurnia kepada mereka-mereka yang benar-benar layak.

Ramainya bilangan Datuk hari ini sehingga ada satu lawak yang menyebut kiranya dilambungkan sebiji batu ke udara, ia nanti jatuh pasti terkena kepala seorang yang bergelar “Datuk”.

Berpada-padalah kerajaan Melaka dalam hal ini.

Comments