BANJIR DI MELAKA : LAPORAN SAYA TEPAT ~ Ref Malaysiakini

Laporan saya beberapa minggu lepas yang menyatakan bahawa rakyat Melaka akan berhari raya dalam banjir menjadi kenyataan apabila beberapa tempat di negeri ini dilanda banjir pada hari raya keempat lalu. Hujan lebat yang turun pada hari tersebut menenggelam beberapa tempat di Daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Antara tempat yang ditenggelami air ialah Melaka Baru, Kampung Musai, Taman Mas Merah, Taman Jati, Malim Jaya, Persimpangan Peringgit dan Kampung Durian Daun di Daerah Melaka Tengah dan Kampung Umbai di Jasin.

Kira-kira 100 keluarga terjejas teruk di Daerah Melaka Tengah di mana kerugian dianggarkan sekitar RM30,000.

Dari tinjauan saya di dapati banjir tersebut berpunca dari struktur perparitan yang teruk dan tidak diselenggara oleh pihak berwajib yang menyebab air tersekat di kawasan terbabit dan tidak mengalir dengan baik.

Walaupun banjir kilat berlaku di beberapa tempat sebelum ini disebabkan masalah sama namun pihak kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terbukti gagal menangani masalah ini sehingga berulang kali berlaku.

Seorang penduduk Taman Jati, Jauhar Dawi, 35 kesal dengan kegagalan kerajaan negeri dan MBMB dalam menangani masalah ini.

“Rakyat sering ditipu dan diperdaya pada setiap pilihanraya di mana BN sering berjanji akan menyelesaikan semua masalah termasuk banjir namun ini yang berlaku kepada rakyat”.

“Setiap kali banjir berlaku Ketua Menteri dan wakil rakyat serta MBMB berjanji untuk menyelesaikannya” kata Jauhar.

Baru-baru Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyatakan bahawa tender akan dikeluarkan untuk membina longkang di beberapa tempat supaya kejadian banjir ini tidak berulang. Ali berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa banjir pada hari kejadian. Kenyataan beliau disiarkan oleh beberapa media arus perdana.

Sementara itu, Rahmat Mohamad, 36 dari Semabok pula turut kesal setiap kali banjir beliau sering terkandas di Persimpangan Peringgit menghala ke Bandaraya Melaka.

“Saya sering terkandas dalam perjalanan pulang ke rumah setiap kali banjir melanda kawasan Persimpangan Peringgit ini”.

“Sudah banyak kali saya terkandas malah kesesakan jalan yang teruk berlaku kerana jalan ditenggelami air hingga ke melebihi tayar kereta, semua orang tidak berani melaluinya” kata Rahmat yang sering berulang alik melalui jalan tersebut.

Menurut Pakar Geografi berkenaan banjir dari Universiti Malaya, Professor Hj Hamirdin Ithnin, banjir kilat di Melaka ini berlaku kerana terganggunya proses hidrologi disebabkan oleh kegiatan antropogenik. Kerosakan alam sekitar disebabkan oleh aktiviti manusia seperti pembangunan yang tidak terancang sehingga menganggu proses saliran dan perparitan, penggondolan hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan dan sebagainya.

Menurut Professor Hamirdin lagi, sekiranya banjir berlaku adalah disebabkan oleh faktor antropogenik, maka ia akan terus berlaku apabila hujan turun, dan kadang kadang hujan yang turun tidak semestinya lebat, asalkan cukup syarat untuk air melimpah, maka banjir boleh berlaku.

Faktor ini boleh dikawal dan dikuasai oleh manusia jika semua pihak berhati-hati dan tidak rakus melaksana pembangunan.Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengembalikan hutan di kawasan tadahan berdekatan.

Biasanya banjir kilat adalah disebabkan oleh faktor antropogenik, dan ia bersifat ‘reversible’. Oleh itu dengan perancangan yang teliti dan memahami proses proses alam fizikal, masalah banjir ini boleh diatasi, ataupun ianya dapat dikurangkan.

Selain itu faktor meteorologi di mana hujan lebat, ditambah pula dengan masa yang lama menyebabkan air larian akan dihasilkan dengan banyak. Ini ditambah lagi dengan faktor hidrologi di mana keadaan sungai, alur, kawasan tadahan, aliran air serta proses proses hidrologi telah diganggu oleh projek pembangunan.

Dalam hal ini kerajaan negeri dan MBMB dilihat gagal mengatasi masalah perparitan dan saliran di mana kebanyakan tempat yang terlibat dengan banjir mengalami masalah longkang tersumbat, saiz longkang yang kecil dan sebagainya. Selagi masalah ini dan masalah kawasan hutan tadahan hujan yang semakin kurang tidak diatasi selagi itulah rakyat di kawasan terbabit akan terus dilanda masalah banjir yang tidak ada kesudahannya.

Melaka pernah dilanda banjir yang teruk pada Disember 2006 di mana 3,193 orang dari 691 keluarga dari Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin terpaksa berpindah. Sejumlah 35pusat pemindahan telah dibuka. Banjir ini merupakan paling teruk di negeri ini sejak 15 tahun terdahulu.

Gambar di atas adalah gambar hiasan.

Comments

weezer said…
Memang padan muka kerajaan melaka kerana merata bukit and menebang pokok pokok kawasan hutan simpanan tanpa merancang terlebih dahulu.