TARIKH BARU PULAK DAH, BERAPA KALI MAU 'POSTPON' ~ Ref Malaysiakini

Setelah kita melewati 16 September tidak masih belum nampak bayang-bayang yang jelas bahawa negara berkebajikan yang diidamkan rakyat akan terbentuk. Sudah seminggu kita melewati tarikh 16 September itu kini kita terus menanti dan menanti bagaikan buah tidak gugur ........

Bila buah yang dikatakan masak ranum itu akan gugur dan dinikmati kita semua?

Hari ini timbul pula tarikh baru iaitu 1 Oktober. Mungkin tarikh ini akan benar-benar men'gumbira'kan kita atau kita terus menunggu dan menunggu. Sabarkah kita menunggu dan terus menunggu.?

Hari ini Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih berharap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menemui beliau untuk membincangkan perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

Beliau melahirkan rasa hairan mengapa sukar bagi Dollah (Abdullah) untuk bertemu.

Menurutnya pertemuan antara kerajaan dan pembangkang adalah urusan biasa. Di mana-mana negara ia selalu berlaku.

Anwar ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Beliau seterusnya menggesa Abdullah agar mempertimbangkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan menghormati sistem demokrasi.

Abdullah kata Anwar, seharusnya tidak takut dengan ahli-ahli parti beliau. Gunakan kedudukan beliau untuk memanggil sidang khas Parlimen.

16 September lalu, Abdullah telah pun menolak permintaan Anwar agar diadakan pertemuan bagi membincangkan keadaan politik semasa negara dan membincangkan proses peralihan kerajaan secara aman, dan syor diadakan sidang khas Parlimen hari ini, yang dikemukakan dua hari kemudian.

Sasaran 16 September dan 23 September sudah pun berlalu.

Sambil menegaskan masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi, Anwar berkata, beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membentuk kerajaan disebabkan adanya bilangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam jumlah yang memadai untuk melompat parti.

Anwar berkata beliau tidak boleh pergi dan mengetuk pintu di Putrajaya dengan mengatakan PR mempunyai jumlah wakil yang mencukupi. Ini merupakan proses perundangan dan perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan, justeru ia akan mengambil sedikit masa tetapi akan bermula dengan pertemuan bersama Dollah.

Kata Anwar, bagi mengelakkan ketidakstabilan politik, pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan akan dibuat menerusi Parlimen.

Anwar juga menolak saranan supaya pihak ketiga menggerakkan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri.

Katanya, usaha pihak ketiga tidak diperlukan dalam hal tersebut.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat akan terus memastikan peralihan kuasa akan berlaku pada tarikh tersebut walaupun sidang Parlimen tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ditolak.

Sehubungan itu, kata beliau, Pakatan Rakyat sedang mengatur satu rundingan dengan wakil Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai perlihan kuasa antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat mempunyai perancangan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi memohon perkenan membentuk kerajaan baru, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan cara terbaik.

Anwar mengumumkan saran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September pada 1 April lalu.

Esok, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada mahkamah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

Sumber : Mstar

Comments