TAKBIR RAYA BERGEMA LAGI, NAMUN IANYA TIDAK MEMBAWA ERTI BUATKU ~ Ref Malaysiakini

Takbir raya bergema lagi buat kesekian kalinya dalam hidupku. Namun kali ini seperti beberapa tahun lalu ianya tidak memberi erti buatku kerana aku bagaikan seekor burung di dalam sangkar terkurung tanpa dibuktikan bersalah.

Jeriji besi disekelilingku masih tetap utuh dan gagah menghalangku untuk bebas ke sana ke mari. Tidak dapat kubayangkan saat bahagian di pagi raya bersama anak-anak dan isteri menyambut Aidil Fitri. Tidak dapat kubayangkan betapa bersyukurnya aku dapat memohon kemaafan dari ibu dan ayahku yang sudah dimamah usia.

Kini semuanya sudah berlalu. Sudah beberapa kali aku berhari raya sebagai banduan ISA yang tidak pernah dibuktikan bersalah. Aku sendiri tidak tahu apa kesalahanku. Aku sendiri tidak pernah kenal apa pertubuhan yang dinamakan KMM atau JI. Aku dituduh menjadi anggota KMM dan kemudian JI tanpa dibuktikan. Aku sendiri tidak tahu samada KMM atau JI yang dimaksudkan itu ujud atau khayalan semata-mata.

Aku tidak tahu berapa lama lagi akan dizalimi dan disiksa oleh Kerajaan zalim ini. Walaupun mereka telah dihukum oleh rakyat pada pilihanraya umum lalu, namun pemimpin bongkak ini masih angkuh, bongkak dan takabbur, tidak insaf. Mereka masih menzalimi kami.

Anak-anakku membesar tanpa aku disisi. Mereka hidup tidak berbapa walaupun hakikatnya bapa mereka masih hidup dan sihat walafiat.
Kini Aidil Fitri datang lagi. Aku sekali lagi gagal menunaikan tanggungjawabku sebagai bapa kepada anak-anakku menguruskan urusan mereka untuk menyambut hari raya. Mengapa begitu kejam pemimpin yang berkuasa hari ini. Masih tidak puaskah mereka menzalimi aku dan keluargaku walaupun sudah bertahun-tahun kami dianiaya dan dizalimi.

Mengapa Ramadhan yang disambut mereka kali ini masih gagal melembutkan hati mereka untuk membebaskan kami semua tahanan ISA. Mereka berpuasa dan bertarawikh serta mungkin juga bertahajud dan sembahyang malam. Tetapi tidak ada sekelumit pun rasa belas ihsan kepada kami sekeluarga.

Ya Allah bukakanlah hati mereka supaya membebaskan kami. Andaikata mereka masih berdegil,ego, bongkak dan masih tamakkan kuasa, kami pohon kepadaMu ya Allah agar menghukum mereka dengan hukuman yang setimpal.

Kami akan menuntut dan mendakwa mereka di Mahkamah Allah di Yaumul Mahsyar nanti.

TAHANAN ISA YANG DIZALIMI KERAJAAN BN.

Comments