SIAPA TIMBALAN PERDANA MENTERI, PENUHI TUNTUTAN RAKYAT, CABARAN BESAR PR ?

Ramalan demi ramalan dibuat oleh pemerhati politik dan rakyat tentang siapakah Timbalan Perdana Menteri kerajaan PR. Bagi saya ianya tidak berapa penting jika dibandingkan pentingnya membentuk kerajaan PR terlebih dahulu.

Samada ianya Haji Hadi atau Azmin Ali atau Lim Kit Siang ianya tidak penting. Yang penting ianya boleh diterima oleh semua parti-parti PR dan juga memenuhi kehendak rakyat majoriti.

PR mesti berhati-hati dalam perkara ini kerana bukan sahaja kepentingan parti komponen yang mesti kita puaskan tetapi paling utama ialah penerimaan rakyat keseluruhannya. Kita kena ingat bahawa rakyat terbanyak mempunyai kuasa untuk membuat 'judgement' di mana mereka mempunyai kuasa untuk menjatuhkan kerajaan PR pada PRU ke 13 nanti. Sebab itu pemilihan Timbalan Perdana Menteri dan komposisi menteri-menteri kabinet mesti diambil kira.

Mahu tidak mahu PR tidak boleh menolak realiti bahawa rakyat Malaysia masih kuat semangat perkaumannya kerana semangat ini telah dibela dan diternak oleh BN dengan rapi sehingga ianya sukar dibuang dari minda rakyat. Oleh kerana itulah kita lihat BN terus memainkan isu ini kerana mereka tahu BN masih boleh mencari 'makan' dengan isu ini. Sebab itulah mahu tidak mahu PR mesti menerima hakikat bahawa persepsi rakyat terbanyak ialah Timbalan Perdana Menteri mesti orang Melayu.

Fakta ini tidak boleh disangkal dengan mudah lebih-lebih lagi, PR sebenarnya gagal meraih undi majoriti orang melayu di negeri-negeri yang diperintah seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Hanya orang Melayu Kedah dan Kelantan sahaja yang memberikan sokongan penuh kepada PR. Negeri-negeri lain PR 'hidup' di atas jasabaik orang Bukan Melayu.

Untuk meraih undi orang melayu PR mesti cermat dalam gerak laku mereka. Melantik orang bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi saya mengundang padah yang lebih besar dan sudah pasti PR akan kehilangan lebih banyak undi orang Melayu nanti. Walaupun pandangan saya nampak agak perkauman tetapi inilah realitinya jika PR tidak mahu kehilangan banyak kerusi di seluruh negara akibat protes dari orang Melayu.

Namun begitu saya juga mencadangkan PR berusaha bersungguh-sungguh untuk menunjukkan perbezaan antara corak pemerintahan PR dan BN dalam menjaga kebajikan dan kedaulatan rakyat bukan Melayu. Mungkin bukan hanya komposisi kabinet yang perlu diambil berat tetapi yang lebih penting kedaulatan ekonomi, pendidikan, agama dan sosial orang Bukan Melayu diutamakan.

Dengan kata lain PR mempunyai tugas berat untuk memastikan Agama, Bangsa, ekonomi, pendidikan da sosial semua kaum didaulatkan dengan menunjukka perbezaan nyata antara pemerintahan PR dan BN.

Comments