SIAPA HIPOKRIT SHABERY ATAU PAS? ~ Ref Malaysiakini

Menteri Penerangan, Shabery Chik semalam menuduh Kerajaan PAS Kelantan bersikap hipokrit apabila hendak menjadikan 16 September sebagai cuti umum. Saya hairan macamana Menteri Penerangan ini berfikir. Tidak berbangkit soal hipokrit dalam isu ini.

Shabery berkata ini kerana mengikut sejarah, kerajaan PAS Kelantan telah mempertikaikan penggabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.

Malah, katanya kerajaan Kelantan PAS pernah membawa kes ke mahkamah kerana mempertikaikan penggabungan tersebut, tetapi kes itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 September 1963.

Bukankah Shabery sebagai seorang terpelajar, sepatutnya mempunyai minda terbuka. Bukankah kita perlu berubah ke arah yang lebih baik. Tidak salahnya kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh kepimpinan yang lain dari kerajaan tahun 60-an, bersetuju dengan cuti pada 16 September. Mungkin pada tahun 60-an pimpinan Kerajaan PAS Negeri Kelantan pada waktu mengambilkira pelbagai aspek semasa yang mungkin tidak sesuai pada masa tersebut. Bukankah untuk maju kita kena berubah.

Saya juga yakin yang Shabery juga berubah dari minda seorang pembangkang kepada minda seorang menteri yang berfahaman Islam Hadhari sekarang. Bukankah dahulu ketika Shabry menjadi aktivis pelajar semasa menuntut di UM sehinggalah Shabery aktif di dalam Parti Melayu Semangat 46, Shabery begitu kritis dan lantang mengkritik apa juga langkah dan program kerajaan Dr Mahathir pada waktu itu. Tetapi kini minda Shabery sudah berubah mungkin untuk kebaikan Shabery sendiri maka minda kelas pertama dahulu sudah menjadi minda 'Yes Man'.

Selain itu saya juga yakin Shabery sedar bahawa sejak beliau menjadi Menteri Penerangan ini tidak banyak dasar dan polisi-polisi baru yang diperkenalkan Shabry. Dalam isu memakai tudung untuk pembaca Berita pun Shabery tidak dapat selesaikan dengan baik, di mana sampai sekarang ramai pembaca berita TV yang tidak memakai tudung. Sedangkan isu ini dianggap 'basic' bagi umat Islam.

Sebaik sahaja Pak Lah mengumumkan saf kabinetnya, saya ingatkan akan ada sedikit kelainan jika Shabery memegang jawatan Menteri Penerangan, umpamanya dari segi program hiburan yang keterlaluan dan pakaian pelakon filem Inggeris yang menjolok mata mungkin dikurangkan. Namun semuanya meleset. Sebelum ini saya menaruhkan keyakinan bahawa Shabery yang dulunya mempunyai fikrah yang agak Islamik mungkin dapat merubah RTM tetapi malangnya sangkaan saya semuanya tersasar jauh. Jadi siapa yang hipokrit????

Jadi tidak perlulah Shabery menghentam dan menuduh kerajaan PAS Kelantan sebagai hipokrit atas alasan kerajaan PAS Kelantan tidak konsisten dalam sesuatu isu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menyatakan bahawa Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.

Bagi saya Shabery sebagai Menteri Penerangan sepatutnya memainkan peranan untuk memujuk Pak Lah agar menerima cadangan Anwar untuk memberi cuti pada 16 September, demi untuk memperatkan lagi hubungan rakyat sesama rakyat dan rakyat bersama pemimpin.

Comments