RAYUAN AKHIR RAMADHAN, BEBASKAN TAHANAN ISA ATAU BICARAKAN DI MAHKAMAH TERBUKA ~ Ref Malaysiakini

Setiap kali saya membaca kisah anak-anak dan isteri tahanan kejam ISA maka airmata saya akan 'merebas' keluar dari kelopak mata saya.

Entah mengapa begitu murah air mata yang keluar bila membaca kisah sedih dan sayu mangsa-mangsa ISA ini. Saya memang susah untuk menangis, malah untuk mengalirkan air mata ketika memohon pertolongan dari Allah pun susah untuk (Ini kelemahan saya).

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana anak-anak kecil yang belum mengerti kezaliman dan kedurjanaan kerajaan BN ini menghadapi hari-hari mendatang tanpa ayah atau abi. Tidak dapat juga saya gambarkan bagaimana sedih dan hibanya mereka berhari raya tanpa insan tersayang.

Ayah mereka dikatakan masih ada tetapi tiada di sisi. Mungkin setiap hari mereka akan bertanya, Mak ayah mana?. Apa yang boleh dijawab oleh Si Ibu. Mungkin untuk kesekian kalinya Si Ibu terpaksa berbohong kepada anak-anaknya Ayah bekerja tidak pulang-pulang. Kejamnya ISA dan kerajaan yang menggunakan ISA untuk menahan rakyatnya tanpa bicara.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sedih anak-anak dan isteri tahanan ISA ini. Saya yang mempunyai anak berumur 2 tahun hingga 10 tahun sudah tentu faham benar akan sikap dan perangai anak-anak kecil ini yang amat memerlukan belaian kasih sayang ayah. Sesekali mereka mengajak kita bergurau dan bermain bersama. Malah anak yang berumur 2 tahun itupun jika tidak nampak kelibat saya sudah tentu dia akan bertanya kepada emaknya, ke mana ayah. Inikan pula anak-anak yang berumur lebih dari 2 tahun sudah tentu mereka sentiasa menanti kepulangan ayah untuk bermanja dan mengadu segala hal mereka.

Mengapa begitu susah manusia penganut Islam Hadhari untuk memahami perkara ini.
Mengapa begitu sukar manusia penganut Islam Hadhari untuk lembut hati.
Mengapa begitu sukar manusia penganut Islam Hadhari untuk me'maaf'kan tahanan ISA jikapun mereka bersalah,
Mengapa begitu sukar manusia penganut Islam Hadhari untuk melahirkan sifat kasihan kepada anak dan isteri mangsa ISA ini

Saya hairan dan pening kepala memikirkan sikap pemimpin Islam Hadhari ini. Saya merayu kepada Pemimpin Islam Hadhari untuk kesekian kalinya SILA BEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA ATAU BICARAKAN MEREKA DI MAHKAMAH TERBUKA.


Di bawah ini saya siarkan artikel Harakahdaily berkaitan dengan KEZALIMAN ISA

Semalam (23 September), penulis bersama rakan wartawan, Azamin Amin dan, Penyunting, M.Khaleel melangkah kaki ke Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, satu-satunya kampung dimana orang Melayu dahulu berkubu daripada ancaman komunis. Iklan

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Simpang Durian mengambil masa kira-kira empat jam jika kelajuan pemanduan sekitar 80 km sejam.

Maklumlah perjalanan dalam musim perayaan ini memaksa penulis memperlahankan kenderaan, kurangkan memotong dan cukup berhati-hati ketika mahu mencelah.

Semalam juga Ops Sikap dilancarkan di seluruh negara yang mana polis dan JPJ ditugaskan mengawal seluruh trafik.

Misi kami ke Kampung Simpang Pertang untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada seorang isteri tahanan ISA, Hidayu Kamaruzzaman yang mana suaminya, Mohammad Amir Mat Hanafiah ditahan pada 5 April 2007.

Hidayu kini tinggal dengan bapanya, Kamaruzzaman Mat Kilau yang hanya bekerja sebagai Penoreh Getah, sementara Hidayu terpaksa bekerja sebagai Guru Kafa dengan gaji hanya RM500 sebulan.

Setibanya kami di rumah Hidayu, tiga anaknya, Fathur Rahman Al-Ghazi; Uwais Al-Qarani dan Ubaidah Al-Harith menyambut kami dengan mesra malah seakan telah mengenali kami seperti bapa saudara mereka.

Bapa Hidayu (Kamaruzzaman) membuka pintu pagar rumah yang telah usang dengan memandang tepat ke arah muka kami sambil menghulurkan salam.

Menitis airmata penulis apabila melihat, anak sulong Hidayu, (Fatur Rahman) meluru ke arah penulis memeluk erat penulis bagaikan memeluk bapa sendiri.

Terpancar di wajah Fatur Rahman kerinduan yang amat sangat malah adik-adiknya turut mendakap penulis, seakan tidak mahu kami segera beredar.

Dalam pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, sempat kami berkongsi pengalaman Hidayu, seorang isteri yang masih muda yang terpaksa menempuhi ranjau hidup sendirian tanpa suami di sisi.

Walaupun Hidayu rancak berbual dengan kami mengenai pengalamannya, namun dari sayu matanya, terpancar perasaan yang amat mendalam, kesengsaraan hidup dengan suami terpisah di tembok besi kejam binaan kerajaan.

Sebaris kata HIdayu yang tidak dapat penulis lupakan "Abang kata, tak mengapa sabarlah dengan dugaan, insyaAllah Allah akan membalasnya di akhirat".

Renungan sayu wajah Hidayu dan anak-anaknya sememangnya memberikan satu lagi pengalaman yang cukup sedih kepada penulis yang hanya mampu menukil kisah beliau hanya dalam tulisan.

Apakah perasaan sebenar Hidayu tatkala berhadapan dengan sengsara ciptaan ISA ini, hanya Hidayu dan anak-anak serta ayahnya yang telah tuan sahaja yang mengetahui.

Sedetik tidak pernah Hidayu menyesali dugaan itu, tetapi di hatinya jelas terbayang betapa beliau tidak redha suaminya diperlakukan sedemikian tanpa perbicaraan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan.

Sesungguhnya tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) menjadi alasan kerajaan untuk menahannya, namun sehingga kini Hidayu pelik mengapa tuduhan sahaja yang dilemparkan sedangkan proses pembuktian tidak pernah berlaku.

Hidayu pasrah dengan dugaan itu, namun hatinya sesekali tercuit dengan suara anak-anak yang meminta bertemu dengan Abi (Ayah) yang masih terpenjara di Kem Tahanan Kamunting.

Biarpun rakan-rakan sebaya dengan anak-anaknya kini cukup gembira menyambut Aidilfitri, namun ujar Hidayu, anak-anaknya lebih merindui Abi yang entah bila akan dibebaskan.

Hiba perasaan penulis tatkala Hidayu menyatakan anak sulongnya sukar untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan di Tadika apabila rakan bertanyakan di mana ayah mereka.

Entah bilakah Fatur Rahman, Uwais dan Ubaidah akan dapat mendakap tubuh bapa mereka, hanya Allah yang tahu.

Sebelum pulang, penulis telah menyampaikan bantuan berupa wang Rm1000 untuk persiapan hari raya kepada Hidayu.

Wang ini diberi kepada isteri-isteri tahanan ISA hasil kutipan tabung Harakahdaily yang diusahakan selama ini.

Namun terdetik di hati penulis, apalah sangat bantuan Rm1000 berbanding berat resah dan hiba kerinduan Hidayu dan anak-anak terhadap Mohammad Amir yang hanya akan beraya di tirai besi.

Kisah ini hanya secebis kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara, namun kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada pemerintah untuk menghapuskan undang-undang rimba ini.

Comments