PIMPINAN PAKATAN YAKIN TUBUHKAN KERAJAAN BARU ~ Ref Malaysiakini

Walaupun pelbagai halangan dan rintangan terpaksa ditempuh pimpinan Pakatan Rakyat terus menunjukkan keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan yang baru akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Keyakinan ini diperkuatkan dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 3 pimpinan PR iaitu Setiausaha Agung PAS, Setiausaha Agung PKR dan Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Ketiga-tiga pimpinan PR itu dalam kenyataan yang ditandatangani bersama menyatakan bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu hari ini yakin proses pembentukan kerajaan baru yang berlandasan Agenda Reformasi sedang berjalan secara lancar. Kami percaya kerajaan Barisan Nasional akan diganti dalam masa terdekat. Iklan

Pakatan Rakyat yakin mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mempunyai majoriti dalam Parlimen yang membolehkan penubuhan kerajaan baru. Bagaimanapun tarikh sebenar penubuhan kerajaan mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September sebagaimana rancangan awal akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan.

Inilah keyakinan yang ditunjukkan oleh PR kepada rakyat, menggambarkan bahawa ianya bukan omongan kosong yang mustahil.

Walaupun pimpinan BN berulang kali menyatakan tidak ada seorang pun Ahli parlimennya yang akan menyertai PR tetapi semua itu tidak boleh dipercayai 100 % kerana biasanya kenyataan akhbar digunakan sebagai strategi untuk mengukuhkan sesuatu parti sedangkan hakikatnya adalah berlainan.

Malah kita juga sudah cukup berpengalaman dengan tindak tanduk pucuk pimpinan tertinggi BN yang selalu membohongi rakyat dalam isu-isu besar seperti pembubaran parlimen dan tarikh kenaikan harga minyak. Apakah dalam isu ini mereka tidak sanggup berbohong. Bagi saya pemimpin BN akan sanggup melakukan apa sahaja hatta bertentangan dengan Islam dan undang-undang asalkan kuasa mereka tidak dirampas.

Prinsip Umno/BN kalau boleh mereka ingin 'mati berdiri dalam pejabat' namun untuk berundur jauh panggang dari api. Sebab mereka tahu masing-masing mempunyai seribu satu masalah. Andaikata BN hilang kuasa mereka khuatir satu per satu tembelang mereka akan dipecahkan dan kemungkinan akan dihadapkan pula ke muka pengadilan. Inilah yang sangat dibimbangi oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN ini.

Dalam keadaan ini sudah tentu bermacam helah, strategi dan taktik serta langkah yang telah, sedang dan akan dirancang untuk menafikan kehendak rakyat ini. Namun kuasa rakyat dan Allah S.W.T tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Kita tunggu dan lihat.

Comments