PAK LAH HANYA SEKADAR BAPA MERTUA KJ? ~ Ref Malaysiakini

Oleh : Alias Mohd Yusof

Disebalik beberapa kelemahan pimpinan Pak Lah, ada juga perubahan-perubahan yang beliau telah lakukan.

Salah satunya, di bawah kepimpinan Pak Lah, rakyat lebih bebas bersuara dan mengkritik berbanding zaman Mahathir yang lebih bersifat autokratik.

Pak Lah juga mempunyai azam yang kuat untuk memperbaiki kekalutan dan campurtangan politik dalam badan perundangan dan kehakiman, juga pasukan polis.

Pak Lah juga ingin menghapuskan rasuah yang membawa imej buruk kepada negara.

Pak Lah juga telah menekankan sektor pertanian dan pengeluaran makanan yang sangat realistik dalam menghadapi inflasi dan kenaikan harga barang keperluan.

Tetapi sayangnya Pak Lah tidak dapat menjadi pemimpin yang berkesan di mana cita-cita dan impiannnya tidak dapat dilaksanakan dengan cepat dan kurang menampakkan hasil.

Pak Lah dikatakan terlalu dipengaruhi oleh nasihat dan pandangan keluarga.

Pak Lah dilihat banyak tidak mengkotakan apa yang dikata. Imejnya semakin tercalar bila tindakan dan keputusan yang diambilnya banyak berlawanan dan bertentangan dengan sifat baik dan bersihnya.

Saya tak tahu gelaran 'Bapa' apa yang bakal diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Pak Lah selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti.

Bapa Kemerdekaan untuk Tengku, Bapa Pembangunan untuk Tun Razak, Bapa Perpaduan untuk Tun Hussein, Bapa Malaysia Moden untuk Tun Mahathir.

Adakah Pak Lah hanya sekadar 'Bapa Mertua KJ'?

Comments

mr.ch0t said…
tepat, bernas, dan sgt touching...