NEGARA HANCUR SELAGI SISTEM TIDAK DIPERBETULKAN ~ Ref Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman berkata selagi sistem sesebuah negara tidak diperbetulkan selagi itulah negara tidak akan maju dan selamat dalam ertikata sebenarnya.

"Sesebuah negara mesti dibina di atas suatu sistem, tamadun dan peradaban yang betul jika negara tersebut akan porak peranda dengan seribu satu masalah".

"Inilah yang terjadi kepada negara kita hari ini yang tidak mengambil Islam sebagai cara hidup dan undang-undang Islam yang menyebabkan pelbagai masalah berlaku antaranya sistem politik yang cara marba, rasuah dan kroni semakin parah, jenayah meningkat, maksiat semakin meningkat, ekonomi tidak stabil, sistem sosial yang rapuh dan macam-macam lagi" kata Ustaz Ghani.

Menurutnya akibat dari kedegilan pemimpin yang ada hari ini orang bukan Islam semakin menjauhi Islam kerana mereka tidak pernah didedahkan dengan sistem keadilan dan ketelusan Islam.

"Apa yang orang bukan Islam lihat ialah pemimpin bercakaran sesama sendiri merebut jawatan, amalan rasuah dan kronisme berleluasa, pemimpin mengaut kekayaan peribadi, perangai pemimpin yang teruk dan macam-macam lain"

"Akhirnya mereka merasakan pemimpin orang Islam lebih teruk dari lain kerana perangai dan kelemahan mereka. Orang bukan Islam melihat Islam pada pemimpin negara yang ada hari ini, akhirnya Islam dilihat gagal menyelesaikan masalah, inilah fitnah besar yang dibawa oleh pemimpin Umno hari ini" tambah Ustaz Ghani.

Oleh itu beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Melaka supaya bangkit dan insaf dari kesilapan lalu dengan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang.

"Rakyat mesti memperbetulkan kerajaan yang ada dengan menukar kerajaan ini dengan kerajaan baru yang lebih baik yang mementingkan keadilan dan kebajikan rakyat"

"Lihat apa yang berlaku kepada Negeri Melaka sekarang, hutang negeri lebih dari RM1 bilion, gejala anak luar nikah meningkat, maksiat bertambah hebat, pembaziran di sana sini, kita mesti selamatkan Melaka dan rakyat Melaka" tambah Ustaz Ghani di akhir ucapannya.

Ustaz Abdul Ghani berkata demikian pada ceramah sempena Badar Al-Qubra di Dataran Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil Rabu lalu. Turut berceramah bersama beliau ialah Naib Presiden PAS, Haji Mohd Sabu dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Zulkefly Mohd Omar.

Comments