NAJIB MULA TEKAN PAK LAH : BAHAGIAN BOLEH TENTUKAN PELAN PERALIHAN KUASA ~ Ref Malaysiakini

Umno bakal berkubur dengan lebih cepat. Dua kenyataan pemimpin tertingginya minggu ini menggambar keadaan perebutan kuasa dalam Umno semakin gawat.

Dua hari lalu Muhyiddin menghentam Pak Lah secara terbuka dengan menyatakan pelan peralihan kuasa antara Pak Lah dan Najib yang dijadualkan pada 2010 terlalu lama.

Hari ini Najib pula bercakap dalam nada yang agak berlainan dari sebelumnya.

Najib dipetik dari Mstar berkata bahawa tempoh pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti ditentukan oleh bahagian-bahagian Umno dalam mesyuarat perwakilan masing-masing selepas hari raya nanti.

Kenyataan Najib merupakan suatu tempelak kepada Pak Lah yang begitu bersungguh-sungguh untuk bertahan sampai 2010. Dengan kenyataan ini, bermakna Najib meminta Bahagian menentukan samada pelan tersebut boleh diterima atau tidak.

Jadi jika Bahagian mencalonkan Najib dan mengenepikan Pak Lah maka Pak Lah akan berputih mata. Mungkin Najib telah mempersiapkan orang-orangnya berkempen di semua bahagian supaya mencalonkan beliau. Maka jika beliau mendapat banyak pencalonan sudah tentu Pak Lah akan mengundurkan diri dengan malu besar (Macam Allahyarham Tun Ghafar Baba naik kapalterbang bawa beg plastik selepas dikecewakan Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno dulu).

Bijak sungguh permainan politik Najib. Kemungkinan Najib, Muhyiddin dan Mahathir bersepakat untuk menumbangkan Pak Lah.

Pak Lah duduk tidor lagi. Mungkin beliau mengharapkan menantu kesayangannya membuat percaturan. Menantunya juga kelihatan sekarang mula ke hulu ke hilir berkempen. Dua hari lepas si Menantu ini bercakap di Segamat bahawa pertukaran pucuk pimpinan tidak diperlukan. Apa yang penting katanya, Umno mesti mendapatkan kembali sokongan Orang Melayu.

Saya menjangkakan Pak Lah akan tersungkur kali ini dek permainan kotor Najib, Muhyiddin dan Mahathir. Dari dua kenyataan Najib dan Muhyiddin ini saya merasakan kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu menggagalkan pelan peralihan itu dan menendang Pak Lah dengan lebih awal.

Comments