MELAKA TERDEDAH KEPADA BANJIR ~ Ref Malaysiakini

Nampaknya sejak kejadian banjir yang teruk pada Disember 2006, negeri Melaka terus dihantui dengan masalah banjir yang tidak kunjung padam. Banjir kilat berlaku di mana-mana hampir di setiap daerah membabitkan taman perumahan, kampung lama, pinggir bandar maupun kawasan bandar.

Ada pendapat menyatakan semua ini disebablkan pembangunan yang tidak terancang yang rakus dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri dan juga pemaju perumahan yang mengakibatkan sistem saliran dan sistem semulajadi tebatan banjir dimusnahkan oleh manusia sendiri.

Sebagai contoh sejak 11 tahun dahulu Kampung Tun Razak di Bukit Katil tidak sunyi dari dilanda banjir yang tidak diundang. Penduduk mendakwa semua ini adalah gara-gara kecuaian dan kelemahan kerajaan negeri dalam memantau projek perumahan berdekatan kampung tersebut yang menyebabkan penduduk yang menderita tanpa pembelaan. Banyak harta benda yang musnah dan rosak. Siapa yang ingin menggantikannya?

Begitu penduduk di Kampung Durian Daun di pinggir Bandar Melaka sering juga dilanda banjir terutama bila ditimpa hujan lebat yang berjam-jam lamanya. Penduduk kampung ini memang mengalami trauma apabila sahaja hujan lebat kerana mereka sudah tidak sanggup untuk mencuci rumah dan memindahkan barang mereka ke tempat selamat pada setiap kali banjir kilat melanda.

Penduduk di sekitar Taman Merdeka dan Taman Angkasa Nuri, Batu Berendam juga tidak lepas dari kebimbangan berlakunya banjir besar sekali lagi sebagaimana yang mereka alami pada hujung Disember 2006 lalu. Malah sejak akhir-akhir ini pun seringkali longkang di hadapan Pasar Borong Melaka dan di belakang Taman Angkasa Nuri sering dipenuhi dengan air apabila hujan lebat turun. Beberapa penduduk yang ditemui seringkali bersungut dengan keselamatan mereka lebih-lebih lagi menurut mereka taman mereka sudah menjadi ibarat kolam takungan air disebabkan kawasan sekeliling mereka sudah ditambak menjadi tinggi sejak pembesaran Lapangan Terbang Batu Berendam yang terletak di sebelah Taman Perumahan ini.

Di Alor Gajah juga menurut Pakar Geografi dari Univesiti Malaya, Professor Dr Haji Hamirdin Ithnin keadaan mukabuminya sudah tidak selamat dari banjir. Ini disebabkan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan tersebut yang memusnahkan sistem semulajadi yang 'menyelamatkan' daerah ini selama ini.

Comments