MELAKA : PAK LAH – NAJIB SAPU SEMUA? ~ Ref Malaysiakini

Penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno, Pak Lah – Najib hampir pasti memperolehi pencalonan dari semua Bahagian-bahagian Umno Melaka pada mesyuarat agong bahagian tersebut tidak lama lagi.

Malah Umno Melaka telah awal-awal menyatakan sokongan kepada pelan peralihan kuasa Pak Lah-Najib tanpa sebarang bantahan. Perkara ini memang tidak menghairankan kita semua kerana Orang Melaka memang terkenal dengan semangat taat setia kepada pemerintah tanpa usul periksa.

Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri Melaka yang bersidang pada 3 Julai lalu sebulat suara mencalonkan Pak Lah dan Mohd Najib untuk mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Beberapa minggu kebelakangan ini Pak Lah diasak dengan hebat oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pelan peralihan kuasa 2010 dipercepatkan. Selain itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu lalu juga sekurang-kurang 4 ahli Majlis Tertinggi iaitu Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishamuddin Huseein; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shafei Apdal menggesa Abdullah meletakkan jawatan sebelum 9 Oktober namun Pak Lah tetap dengan pendiriannya mahu memegang jawatan tersebut sepertimana pelan peralihan asal.

Rafidah dalam ucapan semasa mesyuarat tersebut dilaporkan meminta Abdullah berundur kerana menurutnya dari maklumbalas wanita-wanita bahagian menunjukkan bahawa Abdullah dijangka gagal meraih lebih 58 pencalonan yang membolehkan beliau bertanding jawatan Presiden pada pemilihan kali ini.

Pak Lah dikatakan hampir termakan dengan hujah dan laporan Rafidah ini. Namun Najib cepat memintas dengan menyatakan bahawa apa-apa keputusan pun bergantung kepada perbincangan Pak Lah beliau.

Akhirnya selepas berbincang dengan menantu dan penyokong-penyokongnya Pak Lah membuat keputusan bahawa beliau akan tetap mempertahankan jawatannya bersama Najib untuk jawatan Timbalan Presiden.

Perkembangan ini sudah tentu menguatkan lagi fakta yang Umno Melaka akan 100 % mempertahankan regu Pak Lah-Najib kali ini. Ini bermakna Pak Lah-Najib sudah mempunyai 6 pencalonan dari Melaka.

Keenam-enam bahagian tersebut ialah Bahagian Masjid Tanah diketuai oleh Datuk Wira Abu Seman Yusop, Bahagian Alor Gajah diketuai oleh Datuk Hj Hamdin Abdollah, Bahagian Tangga Batu diketuai oleh Datuk Yaakub Md Amin, Bahagian Bukit Katil diketuai Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Bahagian Kota Melaka diketuai oleh pemangku Ketua, Datuk Abdul Latif Thamby Chik dan Bahagian Jasin diketuai oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Semalam semua Bahagian-bahagian di Pulau Pinang dan Kelantan juga dikatakan menyokong Pak Lah-Najib.

Memang sah ahli-ahli Umno tidak mahu kepada perubahan. Walaupun Pak Lah-Najib ternyata gagal dalam pilihanraya Umum ke 12 dan pilihanraya Kecil Permatang Pauh mereka masih mahu mengekalkan regu yang diibaratkan kuda tua yang sudah tidak bermaya ini.

Di pihak pembangkang senario ini mungkin mengembirakan mereka, namun disebalik itu ianya merupakan bala kepada negara kerana pemimpin yang lemah dan lembap terus memimpin kita sedangkan masih ramai lagi pemimpin yang berkaliber di dalam Umno.

Comments