KESAL KERAJAAN NEGERI GAGAL SELESAI MASALAH BANJIR ~ Ref Malaysiakini

Bukit Katil : Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Nazri Ariffin kesal dengan kegagalan pihak-pihak berwajib yang gagal menyelesaikan isu banjir di Kampung Tun Razak, dekat sini, sejak 11 tahun lalu.

Beliau melahirkan kekesalan di atas sikap lepas tangan pihak-pihak berwajib terutama Pemaju Perumahan berdekatan dan Kerajaan Negeri Melaka yang seolah-olah tidak mengambil tahu langsung akan penderitaan penduduk kampung tersebut sehingga mereka terpaksa menanggung kesusahan dan penderitaan pada setiap kali banjir melanda kampung mereka.

Menurut Nazri tahun ini sahaja, penduduk kampung tersebut sudah 11 kali dilanda banjir.

"Banjir berkenaan yang melanda setiap kali hujan lebat, menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar kerana kerosakan harta benda terutamanya barangan yang kerap terendam air".

Minggu lepas kampung tersebut sekali lagi di landa banjir di mana air lumpur setinggi dua meter melimpah masuk ke rumah penduduk secara mendadak, menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan rumah termasuk persiapan Ramadan.

Kejadian banjir lumpur dikatakan berpunca daripada projek taman perumahan Bukit Katil Damai berhampiran dengan kampung berkenaan di mana pemaju dikatakan membina saluran longkang tanah menghala ke kawasan perumahan penduduk.

Selain itu sistem perparitan dan longkang yang tidak berfungsi dengan baik juga dikatakan menjadi punca berlakunya banjir apabila hujan turun dengan lebatnya.

Baru-baru ini sebuah media cetak melaporkan kekesalan beberapa penduduk kampung terbabit yang sudah muak dengan janji-janji pihak tertentu untuk menyelesaikan masalah banjir ini tetapi sehingga kini masalah tersebut masih gagal diselesaikan.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Khirul Che Salleh berkata kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu ini membuktikan sikap kerajaan negeri yang tidak serius dalam menangani sesuatu isu sehingga membiarkan ianya berlanjutan sehingga 11 tahun.Beliau melahirkan rasa simpati kepada penduduk Kampung Tun Razak yang seringkali mengalami trauma pada setiap kali hujan turun dengan lebat.

Khirul mencadangkan penduduk kampung terbabit menubuhkan Cawangan PAS secepat mungkin sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri yang langsung tidak prihatin kepada penduduk malang terbabit.

"Saya yakin kalau Cawangan PAS ditubuhkan di kampung ini, kerajaan negeri akan segera mengambil berat akan kebajikan penduduk di sini"

"Saya juga mencadangkan kerajaan negeri memberikan pampasan setimpal kepada penduduk di sini yang telah mengalami kerugian yang banyak kerana kemusnahan harta benda sejak 11 tahun lalu".

Comments