KESAL KENYATAAN ADUN SG RAMBAI, ISA TIADA KAITAN DENGAN AKHIRAT ~ Ref Malaysiakini

Semabok : Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka, Khirul Che Salleh kesal dengan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Gerakan Belia 4B (GB4B), Hassan Abdul Rahman yang menyatakan hukum akhirat tiada kaitan dengan ISA.

"Mana dia belajar perkara ini, itulah orang suruh mengaji tak mahu mengaji tetapi nak bercakap juga soal hukum Islam, jadi orang tahu kita tidak faham tentang Islam".

"Islam adalah ajaran yang universal, syumul dan sesuai sepanjang masa, zaman dan keadaan, ianya mencakupi seluruh aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti sunat membuang duri di tepi jalan sehinggalah kepada mentadbir negara dan dunia semuanya Islam ajar, jangan kita sempitkan Islam" ujar Khirul.

Menurutnya di dalam undang-undang Islam orang yang dituduh bersalah tidak akan dihukumkan sebagai bersalah selagi ia belum dibuktikan bersalah di dalam mahkamah terbuka dan si tertuduh dibenar membela diri. ISA berlawanan dengan Islam kerana si tertuduh terus dihukum tanpa dibicarakan dan tidak diberi peluang membela diri.

Maka jelas ianya bertentangan dengan Islam, perkara ini memang diketahui oleh sesiapa sahaja yang faham Islam.

"Saya kesal dengan kenyataan Hassan yang juga merupakan ADUN Sungai Rambai, sepatutnya beliau berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana ianya boleh mengelirukan orang ramai tentang hukum dan perundangan Islam".

"Sebagai wakil rakyat kenyataan beliau mungkin dituruti oleh rakyat, jadi kalau dia tidak faham benar akan undang-undang Islam tidak perlulah beliau menyentuhnya kerana nanti ia akan menyesatkan orang lain" kata Khirul dengan kesal.

Khirul merujuk kepada laporan Sinar Hairan hari ini yang menyiarkan kenyataan Hasan yang menyatakan bahawa hukum akhirat jangan kita sentuh kerana ia tiada kaitan dengan ISA dan ia juga tiada kaitan langsung dengan rimba.

Hassan berkata demikian ketika memberikan ulasan terhadap kenyataan Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka yang membidas Hassan kerana menyokong penerusan undang-undang ISA terus digunapakai di Malaysia. Kenyataan Hassan ini disiarkan Sinar Harian Selasa lalu.

Khirul juga membidas Hassan kerana tidak faham perumpamaan yang digunakan Zaili tentang kaitan Akta ISA dengan hukum rimba.

"Zaili menyamakan atau membuat perbandingan bahawa Undang-undang ISA adalah sama dengan undang-undang rimba di mana hukuman dijatuhkan tanpa bicara, sesiapa yang bersalah terus dihukum tanpa usul periksa dan dibuktikan di mahkamah".

"Sepatutnya seorang wakil rakyat faham akan perbandingan dan perumpamaan seperti ini, tidak perlu orang lain menerangkan kepadanya" tegas Khirul.

Selain itu Khirul turut kesal dengan sikap pemimpin melayu Umno yang terus menyokong undang-undang zalim ISA ini diteruskan sedangkan rata-rata pemimpin MCA dan Gerakan sepakat mahukan ISA dimansuhkan atau sekurang-kurangnya ia dikaji semula.

Hari ini Sinar Hairan melaporkan bahawa Naib Presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn mencadangkan kerajaan memansuhkan ISA atau sekurang-kurangnya mengkaji semula pelaksanaan ini. Perkara ini turut diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan lain.

Menurut Khirul juga rakyat Malaysia juga majoritinya tidak menyokong ISA. Dalam tinjauan mengenai ISA itu, 3,600 orang telah diminta pendapat mereka. Dari jumlah itu, 49 peratus darinya adalah orang-orang Melayu, 31 peratus Cina, lapan peratus India, enam peratus bumiputera Sabah dan enam peratus bumiputera Sarawak.
70 peratus dari mereka tidak bersetuju dengan dakwaan kononnya tindakan menangkap dan menahan tanpa bicara perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan negara.
Apabila dipecahkan mengikut bangsa, didapati 71 peratus responden Melayu tidak bersetuju ISA digunakan untuk keselamatan negara; Cina 79 peratus, India 90 peratus, bumiputera Sabah 71 peratus dan bumiputera Sarawak 66 peratus.

Comments