KESAL DENGAN TINDAKAN KERAJAAN NEGERI AMBIL ALIH TANAH GLC ~ Ref Malaysiakini

Saya sangat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan negeri Melaka yang bercadang untuk mengambilalih tanah milik Sime Darby yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC).

Tanah milik syarikat itu seluas 21.04 hektar di daerah Jasin, Melaka itu akan diambil alih dan kemudiannya diberi milik kepada sebuah syarikat iaitu Splendid Oasis Sdn. Bhd., untuk tujuan pembangunan bercampur.

Adalah jelas kerajaan negeri menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk 'merampas' tanah GLC terbabit dan diberikan kepada syarikat sendirian berhad di mana ini akan hanya memanfaatkan dan menguntungkan segelintir pihak sahaja.

Kerakusan kerajaan negeri mengambil tanah dari Syarikat GLC ini mesti disiasat kerana kita takut ada unsur-unsur yang tidak baik dalam 'penganugerahan' tanah kepada Splendid Oasis Sdn. Bhd. ini. (Splendid Oasis ini pula kena siasat siapa punya?)

Mengapa kerajaan negeri bersungguh-sungguh ingin mengambil tanah ini dari Sime Darby sedangkan Sime Darby adalah sebuah syarikat GLC yang bertanggungjawab kepada kepentingan awam ?

Dilaporkan juga bahawa kes di Jasin itu bukanlah yang kali pertama Kerajaan Negeri Melaka bertindak sedemikian ke atas tanah milik Sime Darby yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC). Malah sebelum ini juga sudah ada kes-kes seumpama ini dilakukan oleh kerajaan negeri.

Walaupun pemegang saham utama Sime Darby termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun tanah milik syarikat di Melaka telah beberapa kali diambil untuk kepentingan pihak ketiga.

Contohnya di Alor Gajah di mana 180 hektar telah dibangunkan untuk Pusat Peranginan A Famosa dan baru-baru ini seluas 10 hektar di Ladang Merlimau telah diambil secara paksa dan diberi kepada syarikat bukan bumiputera.

Bantahan demi bantahan di buat oleh Sime Darby terhadap kegiatan merampas tanah secara 'paksa rela' ini namun ia tidak dihiraukan oleh kerajaan negeri Melaka.

Kegiatan 'merampas' tanah milik syarikat GLC dengan menggunakan Akta Tanah 1960 ini mesti dibendung bagi menyelamatkan kepentingan syarikat terbitan awam seperti Sime Darby ini. Kerajaan Pusat mesti campurtangan dalam hal ini demi menjamin kelangsungan perniagaan syarikat awam ini.

Walaupun kita tahu kerajaan negeri berkuasa ke atas tanah di negeri ini, tetapi ini tidak bermakna kerajaan negeri boleh sewenang-wenangnya 'merampas' tanah syarikat GLC dan 'memberikannya' kepada syarikat yang tidak mempunyai kepentingan awam.

Saya ingin tegaskan sekali lagi, kerajaan pusat mesti campurtangan untuk memberhentikan kegiatan tidak professional kerajaan negeri Melaka ini.

Comments

Anonymous said…
Buat semua rakyat Malaysia,
Mulai hari ini sehingga menjelang 16 September, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-45 marilah beramai-ramai kibarkan bendera Malaysia.

Jika sepanjang sambutan 51 tahun Malaya Merdeka yang lalu anda terlupa mengibarkan bendera, apa salahnya kita mulakan sekarang gerakan kempen kibarkan bendera menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia ke-45 ini.

Terima kasih