JAWATAN PRESIDEN UMNO : PAK LAH MEMBILANG HARI ~ Ref Malaysiakini

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi benar-benar berada di dalam keadaan yang amat tertekan sekarang. Seorang demi seorang pemimpin Umno peringkat Pusat dan Bahagian meluahkan pendapat menyokong kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa ahli akar umbi seharusnya dibenarkan menentukan samada mereka menerima pelan peralihan kuasa Pak Lah-Najib ataupun menolaknya.

Keberanian pemimpin Umno pelbagai peringkat membuat kritikan terbuka terhadap pelan peralihan tersebut merupakan suatu perkembangan terbaru yang menarik untuk diikuti dan dianalisa. Ini kerana sebelum ini iaitu semasa ianya dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno dan kabinet tidak ada seorang pun pemimpin yang berani membuat kritikan secara terbuka khususnya kepada media. Kemungkinan memang ada yang tidak bersetuju namun semua senyap sepi tidak berani menyuarakan pandangan alternatif kepada pelan tersebut.

Kemungkinan besar ketika itu rata-rata mereka ingin tunggu dan lihat perkembangan seterusnya atau mungkin juga mereka yang sedang menunggu siapa yang berani memulakan pandangan kedua yakni tidak puas hati kepada pelan tersebut.

Tidak semena-mena minggu lalu, Naib Presiden yang dikira paling kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan berani dan lantang menyatakan bahawa pelan peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib yang dijadualkan pada 2010 adalah terlalu lama. Beliau secara terbuka mencadangkan Pak Lah berundur lebih awal dari pelan peralihan kuasa Pak Lah-Najib iaitu pada menjelang 2010. Katanya masanya terlalu lama untuk menunggu pelan tersebut.

Menurutnya pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah dua bulan lepas, dakwanya, telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya, tahun 2010 adalah terlalu lama.

Muhyiddin seterusnya dengan tegas dan berani berkata bahawa beliau sanggup menerima apa juga risiko berbangkit daripada kenyataan beliau menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan semula tempoh peralihan kuasa kepada timbalannya kerana ia terlalu lama.

Katanya beliau tidak gentar akan menerima padah daripada kenyataan yang beliau anggap perlu dinyatakan kerana ia adalah satu kebenaran dan ia mewakili kehendak bukan sahaja ahli-ahli Umno dan parti komponen Barisan Nasional, tetapi juga rakyat banyak.

Menurutnya ramai berpendapat eloklah Datuk Seri Najib diberi peluang lebih awal. Dia ada kekuatan, dia ada keupayaan, dan dengan sokongan pemimpin yang lain dan BN, maka bolehlah satu perancangan yang teliti dibuat untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Beliau juga mendakwa pandangan itu adalah berkenaan soal keyakinan dan soal kredibiliti, bukannya saya hendak menjatuhkan maruah Perdana Menteri.

Pandangan berani Muhyiddin ini seolah-olah menjolok sarang tebuan, apabila selepas itu bertali arus pemimpin Umno pelbagai peringkat membuat kenyataan menyokong dan bersetuju dengan pandangan Muhyiddin.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuat kenyataan bahawa tempoh pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti ditentukan oleh bahagian-bahagian Umno dalam mesyuarat perwakilan masing-masing selepas hari raya nanti.

Ini bermakna Najib berpendapat bahawa Bahagian-bahagian perlu diberi kebebasan untuk memilih samada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa Pak Lah_Najib. Jadi jika Bahagian tidak bersetuju dengan pelan peralihan itu, Bahagian boleh mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada mesyuarat agung bahagian nanti.

Selepas itu Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohd Radzi Manan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rantang Panjang Abdullah Mat Yassin juga secara jelas menyokong pandangan Muhyiddin dan Najib. Selain itu Naib Ketua Umno Bahagian Temerloh, Saifuddin Abdullah juga sependapat dengan mereka.

Lebih menghairan pembodek Pak Lah nombor 1, Ali Rustam dan Mat Taib (Tyson) juga tidak berani menyanggah kenyataan Najib. Sudah tentu kedua-dua pembodek Pak Lah ini tidak berani menyokong Pak Lah dan menyahggah Najib kerana mereka bimbang Najib akan dipilih sebagai Presiden pada pemilihan Disember ini. Kalau mereka terang-terang menyokong Pak Lah mereka sudah tentu akan di'sembelih' oleh Najib dan kemungkinan hilang jawatan dalam Umno. Kedua-duanya akan bertanding jawatan Naib Presiden sudah tentu mereka memerlukan sokongan orang-orang Najib dan pada masa yang sama tidak mahu kehilangan sokongan pembodek-pembodek Pak Lah.

Sebab itulah MaT Taib (Tyson) juga membuat kenyataan bahawa (Umno) Bahagian boleh bermesyuarat berpandu kepada keputusan yang dibuat. Terpulang kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing, kata Mat Taib di Pekan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara.

Dengan berhati-hati Mat Taib juga berkata bahawa apa yang diputuskan di peringkat MT (sebelum ini) adalah keputusan di peringkat tertinggi dan apa yang disebut Datuk Seri Najib (semalam) itu perkara ini (peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu) hendaklah mendapat "endorsement" di peringkat akar umbi, bulan Oktober ini.

Sesungguhnya kenyataan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno dan akar umbi ini benar-benar merisaukan Pak Lah yang sudah tentu faham dan sedar bahawa 2 orang kanan beliau iaitu Najib dan Muhyiddin sebenarnya nyata tidak bersetuju dengan pelan peralihan tersebut.

Pak Lah sendiri telahpun melahirkan rasa kecewa dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin. Beliau dengan nada kesal berkata, pelan peralihan tersebut sepatutnya tidak dibincangkan lagi kerana ianya telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Umno dan kabinet. Malah menurutnya, Muhyiddin sendiri merupakan salah seorang ahli yang Majlis Tertinggi dan anggota kabinet yang sama-sama mencapai kata sepakat bersetuju dengan pelan peralihan tersebut.

Perkembangan terbaru ini benar-benar merimaskan Pak Lah dan menantunya Khairy Jamaluddin. Pemerhati politik menjangkakan bahawa Pak Lah tidak akan berdiam diri jika belian ingin meneruskan kesinambungan karier politiknya dan menantunya. Sudah pasti beliau terpaksa menyusun strategi untuk berhadapan dengan 'jentera' Najib, Muhyiddin serta juga jangan dilupakan Ku Li dan Dr Mahathir.

Malah Muhyiddin sendiri sejak akhir-akhir ini menzahirkan bahawa beliau boleh berkerjasama dengan Dr Mahathir dan Ku Li apabila dilihat mereka bertiga begitu intim dalam sebuag majlis baru-baru ini.

Adalah amat berbahaya kepada survival politik Pak Lah jika Najib-Muhyiddin-Mahathir-Ku Li bergabung tenaga sebagai sebuah pasukan menentang Pak Lah yang kelihatan keseorangan akhir-akhir ini.

Tidak syak lagi jika perkembangan ini terus berlanjutan maka tidak mustahil Pak Lah sedang membilang hari-hari terakhir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Perkembangan ini amat menarik untuk diikuti. Mungkinkah satu pertembungan dan pertarungan hebat bakal berlaku di dalam Umno. Mungkinkah juga pertembungan ini menandakan bahawa ajal Umno semakin hampir. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Comments