JALAN TERAKHIR PAK LAH, ISYTIHAR MAGERAN ATAU BUBARKAN PARLIMEN ~ Ref Malaysiakini

Pak Lah semakin tertekan dengan situasi semasa dan krisis politik dalaman Umno dan BN. Tanda-tanda akan berlakunya Tsunami kedua selepas BN ditolak pada PRU 12 pada 8 Mac lalu semakin terserlah. Pak Lah sendiri semacam tidak senang duduk sekarang terpaksa terbang ke sana ke mari menagih sokongan.

Malah belanjawan 2009 juga menjadi mangsa apabila dijadikan gula-gula untuk memujuk rakyat dan ahli-ahli parlimen BN supaya tidak berpindah kapal atau melompat parti. Namun semua itu tidak menjanjikan apa-apa kepastian samada ahli-ahli parlimen tersebut akan melompat atau tidak.

Semakin hari semakin tercungap-cungap Pak Lah memikirkan bagaimana cara untuk menghadapi tarikh 16 September yang dijanjikan Anwar bahawa akan tertubuhnya sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan Ganyut yang telah ditolak oleh rakyat akibat pemimpinnya yang lemah dan lembap.

Berbagai janji dan habuan dihamburkan kepada rakyat terutama rakyat Sabah dan Sarawak, namun semua itu mungkin memuaskan hati rakyat tetapi belum tentu dapat menawan hati wakil rakyat.

Anwar berkali-kali mengulangi kenyataannya bahawa tarikh 16 September tetap akan dikenang sebagai tarikh bersejarah. Malah orang-orang kanan Anwar tidak putus-putus membuat kenyataan bahawa tidak ada yang perlu dirisaukan oleh penyokong Pakatan Rakyat kerana perancangan dan strategi yang diilhamkan oleh Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru masih 'on track'.

Pak Lah semasa membentangkan belanjawan 2009 tanpa segan silu berkata bahawa beliau akan tetap mempertahankan kerajaan BN yang dibentuknya selepas PRU ke 12 ini. Bagaimana beliau mampu mempertahankannya, kalau seramai 30 orang Ahli-ahli PArlimen BN melompat menyertai Pakatan Rakyat? Ini yang menjadi persoalannya.

Tidak ada yang boleh dilakukan oleh Pak Lah bagi menyelamatkan kerajaan BN jika berlakunya 'lompatan' ini. Hanya ada 2 cara sahaja itupun bukannya hendak memastikan BN terus berkuasa tetapi untuk menggagalkan penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat. Pak Lah isytiharkan MAGERAN atau membubarkan Parlimen. Namun kedua-dua tidak semudah yang disangka kerana kedua-duanya memerlukan perkenan Ke Bawah Duli Tuaku Yang Dipertuan Agong.

Adalah diharapkan Pak Lah akan berjiwa besar bila menghadapi situasi ini sebagaimana yang dilakukan oleh Pairin di Sabah dan Asri di Kelantan yang tetap 'cool' walaupun BN merampas kerajaan-kerajaan negeri-negeri terbabit dengan cara membeli wakil-wakil rakyat PBS dan PAS.

Comments