HANYA 2 ORANG MENTERI SAHAJA YANG SEDAR ISA AKTA LAPUK? ~ Ref Malaysiakini

Kita sudah melangkah ke zaman yang serba moden dan canggih, zaman dunia tanpa sempadan, nanoteknologi dan sebagainya.

Namun minda pemimpin kerajaan BN masih jauh ketinggalan walaupun mereka melaung-laungkan negara kita sedang menuju ke arah mencapai status negara maju 2020. Tetapi dukacitanya minda pemimpin kita ini jelas sekali belum layak untuk menjadi pemimpin kepada sebuah negara maju yang berdaulat dan mengamalkan prinsip menjaga hak asasi manusia berdasarkan ruang lingkup Islam dan moral.

Minggu lepas sekali lagi peristiwa hitam yang melengkapkan lagi alasan bahawa negara kita terus menjadi negara Polis atau negara kuku besi kerana menahan rakyat yang tidak dibuktikan bersalah di bawah akta lapuk ISA. Sudah agak lama ISA tidak digunakan untuk menahan tertuduh malangnya ianya sekali lagi digunakan di saat umat Islam sedang merasai nikmat Ramadhan Al Mubaraq. Terbukti Ramadhan gagal menjadi bulan keinsafan kepada pemimpin Islam Hadhari.

Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri terus menerus mempertahankan tindakan zalim mereka atas alasan memelihara ketenteraman awam dari berlakunya hura-hara atas sebab sensitiviti kaum dan agama. Malangnya saya tidak nampak berlakunya rusuhan, demonstrasi, kekacauan dan sebagai semenjak isu keceluparan Ahmad Ismail, isu azan & tulisan jawi juga isu kontroversi dalam blog Raja Petra Kamaruddin. Hanya bantahan dengan aduan Polis, memo dan petisyen yang kedengaran. Mengapa begitu pantas ISA digunakan tanpa mengambilkira justifikasi dan pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

Begitu mudah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil keputusan. Nampak jelas bahawa mereka berdua ini sudah tidak layak menjadi pemimpin kerana tidak boleh berfikir secara waras dan logik lagi. Sudah sampai masanya mereka digantikan dengan pemimpin yang lebih layak samada di dalam Umno atau dari Pakatan Rakyat.

Atau mungkin mereka mempunyai agenda lain untuk menakut-nakut golongan tertentu agar lebih berhati-hati meneruskan gerakan politik masing-masing. Andai ianya betul sudah tentu ia ditujukan kepada pemimpin Pakatan Rakyat sedang agresif mengumpul sokongan untuk membentuk kerajaan baru. Sekiranya benar strategi menangkap rakyat di bawah ISA ini untuk menggagalkan hasrat Pakatan Rakyat saya kira ianya tepat kerana, pemimpin Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim sendiri menyatakan antara sebab PR gagal membentuk kerajaan pada tarikh 16 September adalah untuk meredakan suasana dengan peristiwa penangkapan ISA ini.

Syabas kerajaan BN kerana sekali lagi menggunakan ISA untuk memastikan BN terus berkuasa. Patutlah kerajaan BN terus mempertahankan akta drakonian dan rimba ini walaupun dibantah oleh rakyat sejak dari dahulu lagi. Tujuan asal ianya dilaksanakan adalah untuk menangkap komunis tetapi sekarangnya komunis sudah tiada musuh politik BN pula menjadi mangsa.

Semalam dan sehari sebelum itu 2 orang Menteri dalam kabinet Pak Lah secara terang-terang tidak bersetuju dengan penggunaan ISA untuk menangkap rakyat. Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia S.Subramaniam.

S. Subramaniam berkata kerajaan perlu sedar bahawa sebahagian besar rakyat negara ini tidak suka kepada perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setiausaha Agung MIC itu turut menambah bahawa negara mempunyai cukup undang-undang untuk digunakan terhadap pelabagi kelakuan yang terpesong, tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

Manakala Zaid Ibrahim, menteri yang menjaga hal-ehwal perundangan, sanggup meletak jawatan jika kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.

Ahli politik Umno yang pernah digantung keahlian itu juga mendesak supaya ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA dibebaskan segera.

Syabas kepada kedua-duanya kerana mempunyai minda yang terbuka dan waras. Malangnya menteri-menteri lain kelihatan sama sahaja tahap pemikiran dan minda mereka. Mungkin mereka juga tidak bersetuju tetapi 'soru punya pasal' terpaksalah membodek Pak Lah dan Syed Hamid.

Comments