GERAKAN MULA BERI TEKANAN KEPADA BN ~ Ref Malaysiakini

Sehari dua ini Gerakan salah satu parti dominan dalam BN mula memberikan tekanan kepada BN agar membuat perubahan dan memenuhi permintaan parti-parti komponen khasnya Gerakan.

Ekoran dari prestasi terburuk BN pada pilihanraya Umum lalu Gerakan mula berubah sikap dan lebih terbuka dan berani membuat kenyataan-kenyataan pedas kepada pucuk pimpinan BN. Mungkin kerana tersentak dengan kehilangan negeri mereka iaitu Pulau Pinang, Gerakan sering menuding jari menyalahkan pucuk pimpinan tertinggi BN yang menyebabkan kekalahan BN di Pulau Pinang.

Minggu ini pergeseran semakin memuncak apabila Gerakan dan MCA membuat laporan Polis terhadap Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail yang didakwa menghina kaum Cina semasa berceramah ketika kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh. Namun Umno kelihatan tidak serius menangani isu ini apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap 'jagoan tengik' Melayu itu. Ini membuatkan Gerakan dan MCA naik berang.

Hari ini Pemangku Presiden Gerakan, Kon Tsu Kon dengan berani membuat kenyataan bahawa Gerakan akan mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya parti-parti komponennya terutamanya Umno, gagal membuat perubahan untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Laporan ini disiarkan oleh Bernama.

Sambil menegaskan Gerakan bukan parti "pak turut" dalam BN, Koh bagaimanapun berkata, parti itu tidak akan tergesa-gesa dalam tindakannya dan akan memberi "tempoh munasabah" sebelum mengambil sebarang tindakan.

Gerakan akan terus mendesak agar dilakukan perubahan dan pembaharuan dalam BN tetapi sekiranya usaha itu tidak berhasil, parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Kelantan di sini hari ini.

Koh berkata apa yang dituntut oleh Gerakan antaranya ialah perubahan sikap dan pendekatan serta mewujudkan semula semangat bermusyawarah yang lebih adil dan saksama antara parti-parti komponen supaya suara semua parti dapat didengar, diambil kira dan dimasukkan dalam agenda BN.

"Simbol BN ialah dacing, ia menunjukkan satu konsep adil dan saksama, ia hendaklah diamalkan dalam semua bidang. Ia semangat asal BN dari dulu, tapi mungkin lama-kelamaan, kita semakin sibuk, semakin mementingkan diri sehingga kita terlupa," katanya.

Bagaimanapun, Koh mengakui perubahan telah mula berlaku dalam BN namun parti itu menganggap ia belum mencukupi.

"Kita sudah bermesyuarat lebih kerap dalam lima bulan yang lepas ini di peringkat Dewan Tertinggi BN dan Jawatankuasa Pengurusan BN berbandiing lima tahun dahulu.

"Ia satu permulaan yang baik. Kami bincang banyak isu tapi masih perlu buat perubahan. Tapi nak buat perubahan, bukanlah dalam masa sebulan dua," katanya.

Koh berkata pepimpin BN juga perlu mendengar luahan hati rakyat dan suara tidak puas hati termasuk yang mula kedengaran dari dalam BN sendiri.

"Bukan senang untuk saya menangani perasaan ini. Suara-suara ini mesti diambil kira," katanya.

Comments

ro_shah said…
Semalam mimpi TS KSK masuk DAP depan LGE