CUTI 16 SEPT : JAWAPAN TIMBALAN PERDANA TIDAK RELEVAN ~ Ref Malaysiakini

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa kerajan pusat tidak bersetuju dengan cadangan untuk menjadikan 16 September sebagai cuti umum adalah tidak relevan dan tidak masuk akal.

Dalam kenyataannya dipetik dari akhbar portal internet, Malaysiakini, Najib dilaporkan berkata bahawa kerajaan pusat di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak setuju dengan cadangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 September setiap tahun dijadikan cuti umum untuk lima negeri yang diperintah Pakatan Rakyat sebagai memperingati hari pembentukan Malaysia.

Najib berkata sebagai sebuah negara, kita patut ada satu sahaja hari kemerdekaan sebab kita sudah pilih itulah hari kemerdekaan negara kita.

Beliau seterusnya berdalih bahawa dengan memberi (cuti) hari yang lain, boleh memberi macam-macam intepretasi,polimik dan juga tidak sihat dari segi perpaduan nasional.

Menurut beliau itu adalah pendirian kerajaan pusat, kita pentingkan perpaduan dan integrasi nasional. Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibunegara semalam, demikian menurut laporan Bernama.

Nampak jelas Najib tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan tentang isu ini. Sebagai Orang Nombor 2 sepatutnya Najib lebih berhati-hati membuat kenyataan supaya nanti sebarang kenyataan tidak ditertawakan oleh rakyat.

Najib tidak faham bahawa Anwar mencadangkan 16 September sebagai hari cuti untuk memperingati penubuhan Malaysia bukannya memperingati kemerdekaan. Penubuhan Malaysia sudah tentu berbeza dengan kemerdekaan. Saya pun pelik adakah Najib faham dan sedar bahawa penubuhan Malaysia adalah peristiwa berbeza dengan kemerdekaan. Tidak timbul isu kita menyambut dua hari kemerdekaan yang berlainan. Hari kemerdekaan tetap sama iaitu 31 Ogos, manakala 16 September adalah hari memperingati Penubuhan Malaysia.

Najib, Najib lain kali cermat sikit kalau hendak buat kenyataan akhbar.

Comments