TUTUP TERUS INTERNET, BIAR KITA UNDUR KE BELAKANG ~ Ref Malaysiakini

Saya mencadangkan kepada kerajaan Malaysia kalau benar-benar ingin membendung semua laman web dan blog yang menentang kerajaan sila tutup internet dan putuskan semua rangkaiannya di negara kita.

Kalau betul internet menyebabkan sokongan kepada BN semakin berkurangan, apa lagi matikan semua rangkaian internet biarkan gunakan suratkhabar, mesin taip, mesin fax dan telefon sahaja sebagai penyebar maklumat dan khabar berita.

Tidak perlulah Koridor Raya Multimedia (MSC), tidak perlulah jalur lebar dan tidak perlu ujudkan kursus IT di IPTA dan IPTS.

Saya sendiri pening dan hairan dengan tindakan kerajaan yang seolah-olah anti dengan perkembangan dunia IT sehingga sanggup menutup laman web atau blog yang dikatakan menentang kerajaan atas alasan memfitnah, mengadu domba, menghasut dan sebagainya. Padahal pemimpin-pemimpin BN lah sebenarnya yang menghasut, memfitnah dan mencaci musuh politik mereka setiap hari.

Saya bersetuju dengan pendapat Dr Mahathir yang mengecam kerajaan kerana memungkiri janjinya selama ini untuk tidak menapis kandungan internet - dasar yang perkenalkan semasa pentadbirannya dahulu.

"Bila kerajaan membuat janji kepada negara dan kemudian memungkirinya, maka kerajaan bukan sahaja hilang kredibiliti tetapi juga rasa hormat rakyat sebelum ini," kata Dr Mahathir dalam blognya.

Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISPs) di negara ini supaya mengharam Malaysia Today.

Tindakan ini sebenarnya suatu tindakan yang tidak bertamadun kerana menyekat kebebasan berfikir di kalangan rakyat di samping memperlihatkan sifat kerajaan yang tidak boleh dikritik serta takut kepada bayang-bayang sendiri.

Comments