TUNGGU JAWAPAN DATO' SERI ALI, BILA NAK SERTAI PAKATAN RAKYAT - Ref Malaysiakini

Dua hari lepas saya mempelawa Ketua Menteri Melaka untuk menyertai Pakatan Rakyat. Mungkin Dato' Seri Ali tidak membaca blog saya, tetapi saya yakin orang-orang kuatnya seperti Ketua Puteri Melaka dan lain-lain ada membaca tawaran saya ini. Saya harap mereka dapat menyampaikan tawaran saya ini kepada beliau.
Saya juga meminta media menyiarkan tawaran saya ini tetapi malangnya ia tidak disiarkan oleh mereka. Mungkin media itu berpendapat bahawa kenyataan akhbar saya tentang tawaran ini tidak ada nilai berita atau tidak penting bagi mereka.
Namun saya sekali mengharapkan sesiapa yang membaca tawaran saya ini dan rapat dengan Ketua Menteri sudi kiranya menyampaikan tawaran ini kepada beliau.
Di bawah ini saya siarkan sekali lagi tawaran saya untuk tatapan Dato' Seri dan orang-orang kanannya. Kepada media yang tidak menyiarkan 'press statament' Insya Allah saya akan hantar sekali lagi malam ini.
Tawaran kepada Dato' Seri Mohd Ali untuk sertai Pakatan Rakyat yang saya siarkan pada 31 Julai 2008.
Saya mempelawa Pengerusi Umno Melaka merangkap Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam menyertai Pakatan Rakyat. Dato' Seri Mohd Ali boleh memilih mana-mana parti yang beliau suka samada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS atau DAP.

Saya membuat tawaran ini kerana nampak tanda-tanda Mohd Ali inginkan perpaduan antara Umno dan PAS seperti yang beliau tulis dalam blognya baru-baru ini. Jadi oleh kerana PAS menolak kerjasama politik dengan Umno maka jalan untuk merealisasikan perpaduan ialah dengan cara ahli-ahli Umno menyertai PAS atau Parti-parti Pakatan Rakyat lain.

Jika Mohd Ali dan ADUN-ADUN BN lain menerima tawaran ini maka kita akan tentukan kemudian siapa yang akan jadi Ketua Menteri dan sudah pasti parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak akan menjadi Ketua Menteri dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Mohd Ali tidak perlu bimbang dengan jawatannya sekarang kerana Umno mempunyai paling banyak kerusi jadi kemungkinan besar beliau akan dikekalkan sebagai Ketua Menteri Pakatan Rakyat Melaka jika tawaran ini diterima.PAS dan PKR sendiri tiada sebarang kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka. Jadi jika Mohd Ali dan rakan-rakannya menyertai PAS maka Mohd Ali akan menjadi Ketua Menteri atas tiket ADUN PAS atau sebaliknya beliau akan menjadi Ketua Menteri juga jika beliau menjadi ADUN DAP atau PKR.

Tidak perlulah Mohd Ali bimbang dengan jawatannya sekarang, beliau cuma tukar 'baju' sahaja.Kereta kerajaan, rumah kerajaan, elaun dan keistimewaan yang beliau perolehi kini masih kekal jika beliau menjadi Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat Melaka.

Cuma Mohd Ali mestilah bersedia untuk menerima agenda perjuangan Pakatan Rakyat iaitu mementingkan keadilan dan kebajikan rakyat. Agenda perjuangan ini bukanlah susah untuk diikuti kerana ianya selaras dengan tuntutan Islam dan kehendak rakyat.Saya bersedia untuk menjadi orang tengah bagi perundingan antara Mohd Ali dan pimpinan PAS dan PKR serta DAP jika Mohd Ali ingin menyertai Pakatan Rakyat.

Saya yakin kesemua pimpinan PAS, PKR dan DAP bersedia untuk menerima kemasukan Mohd Ali kedalam Pakatan Rakyat. Mohd Ali boleh menghubungi saya bila-bila masa melalui Pejabat PAS negeri di Semabok.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

Comments