Hari ini media melaporkan bahawa 2 orang Exco Kerajaan Negeri Perak telah ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Mereka ditangkap bersama 4 yang lain. Seorang dari Exco terbabit ditangkap jam 10.30 pagi tadi.
Anggota Exco terbabit didakwa menerima rasuah berjumlah lebih RM105,000 sebagai balasan untuk mempercepatkan proses permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta.
Syabas dan tahniah kepada BPR kerana bertindak sepantas kilat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR)berbanding dengan tindakan yang diambil ke atas pemimpin BN yang kadang-kadang berpuluh-puluh laporan dibuat kertas siasatan pun tidak dibuka oleh BPR.
Semua orang sudah kenal siapa BPR. Khir Toyo, Rafidah Aziz, Samy Vellu dan lain-lain pemimpin BN adalah diantara pemimpin yang sering didakwa melakukan rasuah dan penyelewengan. Namun mereka boleh dikatakan langsung tidak disiasat.
Saya mengharapkan BPR akan menyiasat kes ini dengan telus dan adil. Jika benar berlakunya rasuah dan penyelewengan pihak terbabit mestilah dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan maka mereka mesti dihukum.
Andaikata mereka ini dianiaya atau berlakunya fitnah dan perangkap saya memohon pihak yang terbabit menganiaya atau memerangkap mereka juga dihadapkan ke mahkamah dan dihukum jika mahkamah berjaya membuktikan kesalahan mereka. Saya mengharapkan tidak ada pihak yang teraniaya dalam kes ini.
Dalam keadaan sekarang, pelbagai pihak dilihat cuba menangguk di air keroh dengan berusaha sedaya upaya untuk meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang hanya mempunyai majoriti 3 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN)Perak. Sebelum ini pelbagai usaha dilakukan oleh BN untuk membeli dan merasuah wakil-wakil rakyat PR. Namun aduan dan laporan Polis dan BPR terhadap BN seolah-olah tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
Mengulas mengenainya, Pengerusi DAP Perak yang juga ahli exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan penahanan dua pemimpin Pakatan itu sebagai satu tindakan Barisan Nasional untuk melemahkan kerajaan negeri.
"Ini hanyalah satu percubaan untuk melemahkam Pakatan di Perak, dan satu percubaan untuk menyumbat mereka ke penjara," kata Ngeh, ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ngeh berkata, perkhidmatan kedua-dua ahli exco itu tidak akan digantung sepanjang penyiasatan dijalankan oleh BPR, sambil menegaskan bahawa mereka telah dianiaya.
"Kami mengesyaki yang mereka telah dianiaya. Jadi, bagaimana perkhidmatan mereka hendak digantung?" tegasnya.
Beliau juga menyentuh tentang 'tindakan pantas" BPR bertindak dalam kes-kes yang membabitkan wakil rakyat Pakatan.
"Apa yang paling mengecewa dalam hal ini, ialah mengapa BPR bertindak pantas sekali dalam mengambil tindakan terhadap kita, sedangkan kita juga telah membuat banyak laporan terhadap BN tentang perbuatan rasuah mereka?" soalnya.
Ngeh, yang juga ahli Parlimen Beruas, mempertahankan pemimpin Pakatan, sambil berkata mereka telah diingatkan supaya jangan terbabit dalam rasuah sebelulm kerajaan negeri ditubuhkan dahulu.
"Kita mahu mengisytiharkan bahawa kita telah memberi penekanan terhadap ketelusan dan penubuhan sebuah kerajaan yang bebas rasuah, sebelum kita menubuhkan kerajaan negeri," tambahnya.
Menteri Besar Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin dijangka akan membuat kenyataan akhbar petang ini.
Comments