SELAMAT KEMBALI WAHAI HARAKAH DWIMINGGUAN - Ref Malaysiakini

Esok kita semua akan menatap semula akhbar dwimingguan Harakah yang pernah menggegarkan kerajaan BN pada penghujung tahun 90-an. Sudah hampir sepuluh tahun Harakah dihadkan penerbitannya kepada 2 kali sebulan sedangkan sebelum itu penerbitannya adalah 2 kali seminggu.

Semenjak penerbitannya 2 kali sebulan, banyak kali juga saya terlepas dari membeli Harakah kerana terleka dan terlupa dengan tarikh penerbitannya. Tidak seperti semasa ia diterbitkan 2 kali seminggu di mana setiap hari Ahad dan Khamis saya sudah pasti terpacul di kedai-kedai menjual akhbar tersebut.

Saya masih ingat sewaktu saya tinggal di Penang, tiap-tiap hari Ahad dan Khamis saya akan mengunjungi gerai Ane di Gelugor untuk membeli Harakah. Honda Raider kesayangan saya PBD 9338 (entah di mana sekarang) menjadi kuda tunggangan saya untuk membelinya. Terasa suatu tidak kena jika sekiranya saya tidak dapat membaca Harakah pada masa tersebut. Edisi Internet Harakah belum ujud lagi pada masa tersebut.

Pertama kali saya menatap Harakah ialah di Hentian Pudu Raya semasa menunggu bas untuk pulang ke Pulau Pinang dari kampung saya di Lepeh. Seingat saya dalam tahun 1987 (dah 21 tahun sekejap sahaja masa berlalu). Saya sudah mengetahui bahawa Harakah akan diterbitkan pada masa itu. Saya tercari-cari kalau-kalau Harakah ada dijual di gerai-gerai di dalam Hentian Pudu Raya.
Namun saya hampa. Sehinggalah saya disapa oleh seseorang yang sedang membawa 'sebeban' surat khabar dan beliau menghulurkan kepada saya, katanya ambillah edisi percuma, tak perlu bayar.
Alangkah terperanjat saya, rupa-rupa barang yang saya cari datang sendiri kepada saya. Tanpa berlengah saya mengucapkan terima kasih dan terus membacanya dengan tekun.
Semenjak dari hari itu saya jarang sekali gagal membelinya. Saya masih ingat ketika saya tinggal "Hilton" hostel 8 tingkat di kampus saya, Harakah yang saya beli saya simpan di loker diluar bilik saya ketika saya pulang bercuti. Namun bila saya kembali selepas semester baru bermula, koleksi Harakah saya hilang. Alangkah sedihnya saya. Tiada gantinya...........

Harakahdaily hari ini menukilkan sejarah ringkas penerbitan Harakah. Tanggal 28 Febuari 1987, adalah detik Harakah memperolehi permit daripada Kementerian Dalam Negeri ketika itu dengan kekerapan penerbitannya daripada dua kali seminggu sehinggalah ke hari ini kepada dua kali sebulan.

Sebagai media politik yang didukungi parti pembangkang, Harakah terus bertahan malah makin sehinggalah usianya mencecah 21 tahun walaupun menghadapi perjalanan yang penuh onak dan duri.

Saya mengucapkan syabas kepada Harakah di atas kejayaan meneruskan kesinambungan perjuangan.

Harakah sendiri tidak asing juga bagi saya. Beberapa orang ahli keluarga terdekat saya terlibat secara langsung bertugas di Harakah. Antaranya MNS dan BAW. Bapa mertua saya juga pengedar Harakah veteran di Pahang. Kini ianya diwarisi pula oleh abang ipar saya HAS.

Kawan-kawan saya ramai juga bertugas di Harakah antaranya MSS, ZMA dan lain-lain.

Saya yakin saya akan sentiasa merindui Harakah walaupun tiap-tiap hari saya menatap Harakahdaily tetapi kerinduan kepada Harakah cetak tetap membara.

Kepada semua pencinta Harakah saya ucapkan tahniah kerana doa anda untuk menatap Harakah 2 kali seminggu dimakbulkan Allah. Kita kita menanti Harakah harian pula. Diharapkan pihak Harakah mempunyai perancangan ke arah itu. Sesungguhnya kalian berupaya dan mempunyai kekuatan untuk merealisasikan Harakah sebagai akhbar harian.
Buat kakitangan Harakah teruskan perjuangan, penat lelah anda Insya Allah akan diberkati oleh Allah dan mendapat keredhaan dariNya.

Selamat Berjuang.

Comments

Nostradamus said…
Q13. Free speech is a right of all Malaysians. (True or False)
Kebebasan bersuara adalah hak semua rakyat Malaysia. (Betul atau Salah)

Answers at http://patek1472.wordpress.com
Jawapan di http://patek1472.wordpress.com