Saya selaku rakyat Malaysia memandang berat forum 'Memeluk Islam' yang bakal diadakan esok atas anjuran Majlis Peguam.
Saya merayu kepada Majlis Peguam sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para bijak pandai undang-undang supaya membatalkan forum tersebut yang jelas akan memberikan impak negatif kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam.
Islam sebagai agama resmi negara seperti termaktub dalam perlembagaan adalah sebuah agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T bukannya bersandar kepada logik akal manusia seperti yang diamalkan oleh sesetengah pihak.
Tidak timbul masalah pencabulan hak asasi bersuara atau hak asasi manusia dalam kes ini kerana rakyat bebas berbicara di atas apa juga isu tetapi biarlah isu tersebut adalah isu yang munasabah untuk diperdebatkan. Dalam hal 'memeluk Islam' ini sendiri manusia sepatutnya diberi kebebasan untuk memeluk Islam setelah mereka akil baligh. Apabila mereka telah memeluk Islam maka seseorang itu adalah tertakluk di bawah undang-undang syariah.
Andaikata mereka bertindak keluar dari Islam-murtad (Nau'zubillah) maka mereka ini mesti dibicarakan di bawah undang-undang Islam kerana hukum Islam jelas menyatakan bahawa murtad merupakan suatu kesalahan di sisi Islam dan pelaku yang dibuktikan mesti dihukum. Tidak timbul masalah pencabulan hak asasi manusia di sini.
Begitu juga dalam kes pengkebumian seseorang yang telah masuk Islam. Jika sekiranya seseorang itu sudah jelas memeluk Islam, dibuktikan dengan dokumen serta saksi-saksinya maka tidak syak lagi jenazahnya mesti dikebumikan secara Islam walaupun dibantah oleh keluarganya yang belum Islam.
Itu sebab Mahkamah Syariah membenarkan keluarga si mati yang belum Islam untuk hadir dan memberi keterangan dalam mahkamah syariah. Hal ini menjadi masalah jika semua orang berlapang dada dan bertindak secara rasional dan professional.
Saya menyokong penuh kenyataan Presiden PAS, YB Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata PAS bimbang forum tersebut boleh "mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara.
"Tuan Guru Haji Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang menambah, PAS sekeras-kerasnya membantah hasrat Majlis Peguam dengan alasan "isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah seasuatu yang mutlak" seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.
Beliau juga dilaporkan berkata, bagi PAS, Islam agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan authoriti kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri.Kerana itu, katanya, PAS berpandangan inisiatif Majlis Peguam Malaysia ini yang bersumberkan fahaman sekular akan hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam lantas mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.
Beliau menyarankan penganjur membatalkan forum tersebut.
Saya juga merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar supaya berbincang dengan Majlis Peguam supaya membatalkan forum badan peguam ini kerana khuatir ianya akan menjadi suatu titik permulaan kepada permusuhan antara agama.
Kelmarin, Syed Hamid menyifatkan forum badan peguam itu ibarat "bermain dengan api" dan "boleh membangkitkan salah faham."
Comments