PTG PAUH : KALAU TIDAK ADA CALON SESUAI LEBIH BAIK TARIK DIRI ~ Ref Malaysiakini

Saya sangat simpati kepada Umno dan BN yang nampaknya terkial-kial mencari calon yang sesuai untuk menentang Anwar Ibrahim pada pilihanraya kecil Permatang Pauh. Sehingga ke hari ini nampaknya Umno buntu untuk mendapatkan calon yang layak. Bukan sahaja mereka tidak ada calon yang setanding dengan Anwar malah calon yang 'boleh tahan' pun mereka tidak ada.

Ini kerana kebanyakan nama-nama yang disebut-sebutkan untuk bertanding adalah calon 'recycled' yang tewas pada pilihanraya umum lalu atau sebelumnya. Ada juga antara nama-nama tersebut ditolak oleh Umno Bahagian Permatang Pauh siang-siang lagi atas faktor orang luar atau mungkin faktor lain-lain.

Siapa calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding?

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh - Abdul Jalil Abdul Majid
Calon 'Recycled' tewas pada pilihanraya umum lalu di DUN Penanti. Meletakkan Jalil sebagai calon samalah menghulurkan tengkuk kepada Anwar.

Exco Pemuda Umno Malaysia - Pirdaus Ismail
Imam 'Pencen' ini sudah dua kali tewas kepada Dato' Seri Wan Azizah, ramai berkeyakinan bahawa jika Pirdaus diletakkan sekali lagi menjadi calon, BN akan tewas dengan majoriti yang lebih besar kerana semua pengundi telah mengenali siapa Pirdaus sebenarnya. Peristiwa menyepak peti undi masih segar dalam ingatan mereka.

Bekas Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh - Ahmad Saad
Umno Bahagian sudah tentu tidak bersetuju dengan pencalonan Ahmad Saad yang juga merupakan penyokong kuat Anwar suatu ketika dahulu. Ahmad Saad sendiri seolah-olah tidak yakin untuk menentang Anwar. Beliau juga pernah tewas dalam pilihanraya umum.

Bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan - Ezam Mohd Nor
Ditolak awal-awal lagi oleh Umno Bahagian dengan alasan beliau adalah orang luar dan calon payung terjun. Malah ada yang mencurigai kesetiaannya kepada Umno.

Mufti Kerajaan Negeri Perlis - Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Anak tempatan. Tetapi beliau telah menolak tawaran Umno, malah kemungkinan besar Imam Hadhari sendiri tidak bersetuju dengan pencalonannya disebabkan Asri lantang mengkritik Imam Hadhari yang mengalungkan bunga di Tugu Negara sempena sambutan Hari Pahlawan.

Ketua Umno Bahagian Batu Kawan - Dr Ibrahim Saad
Juga bekas penyokong kuat Anwar. Namun rekodnya dalam politik juga kurang baik. Tewas di tangan Wan Azizah pada pilihanraya umum 1999.

Jadi siapa lagi yang Umno ingin ketengahkan sebagai calon? Kalau susah-susah saya cadangkan Umno memberikam kemenangan percuma kepada Anwar kerana kalau BN meletakkan calon sekalipun BN akan tewas. Lebih baik BN jimatkan belanja masa dan tenaga untuk tumpukan kegiatan kepada mempertahankan kerajaan BN yang boleh diibaratkan bagai Telur Dihujung tanduk sekarang.

Jelas sekali inilah kali pertama dalam sejarah Umno dan BN begitu susah untuk mencari calon yang sesuai untuk mewakilinya pada pilihanraya kecil. Seingat saya perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini. Malah kepimpinan Umno juga jelas awal-awal lagi sudah mengangkat bendera putih.

Kepada pemimpin Umno dan BN saya inginkan ucapkan "Selamat Memberikan Kemenangan Percuma Kepada Pakatan Rakyat".

Comments