PMTG PAUH : MAHATHIR JUGA TAK YAKIN BN BOLEH TEWASKAN ANWAR ~ Malaysiakini

Bukan sahaja pemimpin Umno dan BN tidak yakin BN dapat merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh, bekas Presiden Umno Tun Mahathir juga sependapat dengan mereka.
Beliau berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon "istimewa" yang mampu menentang Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Menurut laporan Bernama,bekas Perdana Menteri itu berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu akan memenangi pilihan raya tersebut kerana ia merupakan kubu kuat beliau di samping BN juga sudah hilang kredibiliti setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihan raya umum lepas.

"Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin.

"Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lepas," katanya ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung calon yang mampu menentang Anwar pada pilihan raya tersebut.

Dr. Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan pada forum bertajuk "Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu" anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika Anwar memperoleh majoriti yang lebih besar, ia tidak bermakna bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri berkata ini menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.

"Jika majoriti undi yang diperolehi Anwar kurang... Umno boleh terus ke depan (untuk kembali mendapat sokongan rakyat)," katanya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Tak mungkin. Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya."

Beliau berkata, jika terdapat calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan KeADILan.

"Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia daripada serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar... kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar. Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berpendapat Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal sebagai Presiden Umno walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu Disember ini.

"Ku Li (Tengku Razaleigh) harus menilai sokongan ahli. Saya dapati cuma di peringkat rendah (akar umbi) yang menyokongnya. (Sebaliknya) Pak Lah mendapat sokongan daripada Ketua-Ketua Bahagian Umno sehingga mereka tidak boleh buka mulut sama sekali.

"Dulu mereka (Ketua Bahagian) yang pernah cabar Datuk Seri Abdullah, sekarang senyap... saya fikir susah (bagi Tengku Razaleigh untuk menang). (Bagaimanapun) dalam parti Pak Lah akan menang tetapi dalam pilihan raya, dia akan kalah," katanya.
Harakahdaily

Comments