PASCA MUKTAMAR : PERWAKILAN MELAKA PUASHATI - Ref Malaysiakini

Semabok : Rata-rata perwakilan PAS Negeri Melaka yang mewakili PAS Kawasan-kawasan dan Dewan-dewan negeri Melaka berpuashati dengan perjalanan muktamar serta penjelasan yang diberikan oleh saf kepimpinan dalam Muktamar PAS Pusat kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak hujung minggu lalu.
Perwakilan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Khirul Che Salleh menyatakan rasa syukur di atas perjalanan muktamar yang berjalan dengan baik walaupun ramai menjangkakan muktamar kali ini akan berlansung dalam keadaan panas.

"Jelas sekali ahli-ahli PAS amat matang dan professional dalam membahaskan apa juga isu dan masalah, kepimpinan pusat dan para perwakilan telah berbahas dengan terbuka dan jujur tanpa sebarang masalah"

"Di sini kita dapat melihat betapa hebatnya orang PAS, mereka tidak dipengaruhi oleh nafsu dan emosi sebaliknya mereka sentiasa berbincang dan berbahas secara berakhlaq" kata Khirul.

Perwakilan PAS Masjid Tanah,Imran Abdul Rahman pula berkata, ahli-ahli PAS sentiasa menunjukkan disiplin dan wala' yang baik terhadap kepimpinan PAS.

Menurutnya kepatuhan kepada pimpinan bukanlah kepatuhan yang membuta tuli tetapi ianya mengikut ajaran Islam, di mana kepatuhan kepada manusia ada batasnya iaitu selagi pemimpin tidak melanggar agama Islam selagi itulah ahli wajib patuh kepada pemimpin.

"PAS berbeza dengan Umno, ahli Umno patuh kepada pemimpin secara membuta tuli, di mana kebanyakan mereka adalah 'yes man' patuh kepada pemimpin walaupun kadang-kadang tindakan pemimpin mereka berlawanan dengan Islam" kata Imran yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Perwakilan dari PAS Kawasan Jasin, Yuhaizad Abdullah pula berpendapat, ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jelas dan tepat pada masanya di mana ianya merungkaikan kekeliruan dan kecelaruan ahli-ahli PAS terhadap isu muzakarah dan muqabalah.

"Menjadi harapan agar ucapan Tuan Guru Mursyidul Am membantutkan usaha seorang dua pemimpin PAS yang ingin 'bersama' Umno".

"Mubahalah boleh dilakukan dengan sesiapa sahaja hatta dengan George Bush tetapi mesti diketahui parti tidak secara gelap-gelap" kata Yuhaizad yang juga merupakan Pemangku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Bagi Perwakilan PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Mohd Ali Sharif pula, beliau sedikit kesal dengan beberapa kecacatan kecil dalam perjalanan Muktamar PAS Pusat tersebut.

Menurutnya agenda seperti pelancaran buku Tuan Guru, tayangan Nisa', gimik pelancaran harakah dan tayangan multimedia yang tidak sempurna mencacatkan sedikit muktamar kali ini.

"Sepatutnya pihak terbabit mestilah menyediakan bahan-bahan tersebut dengan lebih professional dan proses 'editing' mesti dilakukan dengan berhati-hati".

Selain itu beliau juga kesal kerana masih ada para perbahasan yang tidak berkait dengan usul yang dibahaskan, malah Pengerusi Tetap kadang-kadang juga tidak mengawal pembahas-pembahas berucap melebihi waktu yang ditetapkan.

"Kali ini juga tidak ada gerai pameran dari PAS negeri-negeri dan lajnah-lajnah serta pameran sejarah PAS, ini sedikit sebanyak membuatkan muktamar kali ini sedikit hambar" kata Ali dengan nada kesal.

Walaubagaimanapun beliau merakamkan jutaan tahniah kepada PAS Perak yang berjaya menjalankan program ini di Stadium Indera Mulia setelah kerajaan negeri di perintah oleh Pakatan Rakyat.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Kawasan Bukit Katil, Ramli Dalip pula berkata, jelas sekali pemimpin-pemimpin PAS membuktikan bahawa mereka sepakat dalam isu muzakarah ini walaupun sebelum muktamar ramai ahli-ahli PAS melihat adanya percanggahan pendapat antara kepimpinan PAS sendiri.

"Saya yakin semua ahli dan penyokong PAS menarik nafas lega dengan keterbukaan PAS yang boleh bertemu dan berbincang dengan sesiapa sahaja, kerana selagi PAS berpegang kepada prinsip Islam selagi itulah PAS tidak akan berganjak dari prinsip perjuangannya"

"Malah Presiden dengan yakin dan tegas menyatakan bahawa PAS tidak akan sekali-kali menyertai BN yang penuh dengan kejijikan dan kekotoran" kata Ramli yang menjadi perwakilan PAS Kawasan Bukit Katil pada muktamar tersebut.

Ditanya tentang sindiran Pengerusi Tetap PAS Pusat terhadap kegagalan PAS Melaka memenangi sebaran kerusi pada pilihanraya yang ke 12 lalu, Ramli berkata, jawapan yang diberi oleh Ustaz Kamaruddin Sidek selaku pembahas ucapan dasar dari Melaka adalah memuaskan walaupun beliau menjawab secara berjenaka.

Kamaruddin semasa membahaskan ucapan dasar Presiden menjelaskan bahawa PAS Melaka telah berusaha sedaya untuk memastikan PAS menang pada pilihanraya umum lalu.


"PAS Melaka berusaha untuk menang dengan cuba menambahkan bilangan pengundi PAS sehingga terpaksa berpoligami" kata Ustaz Kamaruddin merujuk kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang mempunyai dua isteri.

Muktamar PAS Pusat yang bermula pada 15 Ogos berakhir pada 18 Ogos lalu. Muktamar tahun ini dimulakan dengan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang berlangsung pada 13 Ogos.

Comments