MUHYIDDIN LEBIH SESUAI JADI PRESIDEN UMNO ~ Ref Malaysiakini

Sehari dua ini terutama selepas Tsunami melanda Umno/BN dengan kekalahan mereka pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu saya yakin, Imam Hadhari No 1 dan No 2 Umno iaitu Pak Lah dan AlNajib sudah tidak relevan lagi untuk memimpin Umno. Kredibiliti, idea, cara kepimpinan kedua-duanya sudah lapok dan ketinggalan zaman.

Secara peribadi saya beranggapan bahawa Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin lebih berkarisma dan hebat dari kedua-dua besar Hadhari. Muhyiddin nampaknya lebih cerdik dan rasional dalam membuat komen dan tindakan. Berbeza dengan Pak Lah yang sentiasa yakin akan kehebatan diri sendiri dan AlNajib yang sekarang tak senang duduk dihantui dengan segala macam kontroversi.

Kepada orang Umno saya cadangkan anda semua membuat desakan kepada Imam No 1 dan No 2 supaya meletakkan jawatan dan beri peluang kepada Muhyiddin menerajui Umno. Walaupun Muhyiddin sering dikaitkan dengan peranan yang didakwa 'menjual' negeri Johor namun ianya tidak kelihatan seteruk dan sehaprak Pak Lah yang membiarkan anak menantu, kawan dan saudaranya kaya raya. Begitu juga dengan AlNajib yang semua orang kenal begitu intim dengan Rahim Thamby Chik yang 'gagah dan hebat'.

Jadi saya harap kawan-kawan dalam Umno dapat memikirkan cadangan saya ini agar dapat dipertimbangkan sebelum terlambat. Untuk itu dalam persidangan Umno Bahagian tidak lama lagi saya mencadangkan tuan-tuan dan puan-puan yang mungkin menjadi perwakilan pastikan Muhyiddin dicalonkan sebagai Presiden. Timbalan Presiden mungkin Ku Li atau Rais Yatim terpulanglah. Ali Rustam ? Tak boleh hancur kita nanti 'kena sepit sama sepit sini'.

Saya tertarik dengan kenyataan Muhyiddin berkenaan kekalahan BN di Permatang Pauh, saya lihat kenyataan beliau lebih rasional, professional dan logik berbanding dengan kenyataan kedua-dua Imam Besar Hadhari.

Muhyiddin dalam kenyatannya semalam berkata, BN dan UMNO perlu mengadakan post-mortem dan mengambil usaha untuk mempercepatkan program pemulihan UMNO serta langkah-langkah untuk menjenamakan semula BN dengan pendekatan baru dengan cara-cara yang boleh diterima rakyat.

Menurut beliau, ini memerlukan pendekatan yang perlu dilakukan oleh UMNO dan BN dan menilai semula sama ada cara ia berkempen "sudah basi dan tidak diterima rakyat" lagi. Ini jelas bahawa kita perlu buat satu perubahan cepat, corak, daya dan perubahan organisasi kita dan cara kita.

Selain itu, kata Muhyiddin, keputusan itu juga menunjukkan bahawa cara berfikir pengundi sudah berubah di mana mereka mahu "satu yang lebih adil, yang tidak berasaskan perkauman, yang berdasarkan profil rakyat Malaysia yang berbagai bangsa dan agama...UMNO perlu bersedia buat perubahan.

Bagaimanapun, beliau berkata kemenangan Anwar itu adalah sesuatu yang dijangkakan dan harus diterima kerana ia adalah merupakan suara rakyat.

Katanya kemenangan itu bermakna pengundi-pengundi di Permatang Pauh sudah membuat keputusan di bawah sistem demokrasi yang perlu dihormati semua pihak.

Mungkin apa pun yang dikatakan tentang Anwar, orang tak percaya dan pengundi tak percaya. Penjelasan yang dibawa oleh pemimpin kita tak diterima, seolah-olah keputusan yang dibuat awal-awal yang mengatakan BN (Barisan Nasional) tak akan menang dan PKR akan tahan (mempertahankan) kawasan itu.

PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.

Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas mendapat hanya 92 undi.
Sebanyak 447 undi rosak.

Comments