LAYANAN SAMA RATA UNTUK KEDUA-DUA CALON DI PERMATANG PAUH - Ref Malaysiakini

Keputusan mahkamah yang membenarkan Anwar diikatjamin dan dibebaskan memungkin Anwar berlawan secara berdepan dengan BN. Namun begitu saya mengharapkan BN akan lebih professional dan beretika semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Adalah diharapkan media seperti surat khabar, TV, Radio dan lain-lain bersifat lebih adil dan professional daripada masa-masa lalu. Saya mengharapkan media memberikan ruang yang sama rata kepada Anwar dan calon BN.

Jangan timbulkan fitnah, fakta tidak tepat, tuduhan melulu kepada Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim.

Saya harap janji Menteri Penerangan untuk berlaku adil dan saksama kepada kedua-dua calon dikotakan oleh beliau.

RTM sebagai media kepunyaan kerajaan mesti menunjukkan contoh terbaik kepada media lain.

Selain itu saya juga berharap SPR dapat benar-benar menjadi badan yang telus, adil dan boleh di percayai, tidak seperti sebelum ini SPR selalu dituduh menjadi kuda tunggangan BN dengan kewujudan pengundi hantu, nama pemilih yang bertindih dan sebagainya.

Apa yang membimbangkan kita ialah SPR dan Agensi-agensi kerajaan lain bersekongkol dengan BN untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat iaitu Anwar Ibrahim.

Saya mengharapkan BN benar-benar berlawan secara anak jantan kali ini. Pilihanraya kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos ini dan penamaan calon akan diadakan Sabtu depan iaitu 16 Ogos.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka

Comments