KESAL DENGAN LAPORAN MEDIA AHLI PAS MELAKA KELUAR PARTI ~ Ref Malaysiakini


PAS Kawasan Bukit Katil sangat kesal dengan laporan media baru-baru ini yang menyiarkan laporan kononnya seorang ahli jawatankuasa PAS Bukit Katil, Mansor Shah Gulam telah menyertai Umno dengan menyerahkan borang keahlian Umno pada satu majlis di Padang Awam Taman Seri Jati, Sg Putat.

Laporan ini merupakan siri pembohongan Umno Negeri Melaka kepada rakyat. Sebenarnya tidak ada seorang pun ahli jawatankuasa PAS Bukit Katil yang bernama Mansor Shah Gulam.

"Siapa yang dia orang ambil jadi ahli Umno ini, tidak ada seorang pun AJK PAS Bukit Katil malah ahli PAS Bukit Katil pun tiada yang bernama Mansor Shah Gulam" kata Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Selamat Amin.

"Mana Umno cekup ini, lain kali kalau nak keluarkan berita dalam media pun periksa lah dulu betul ke orang itu AJK PAS Bukit Katil, kalau tidak nanti orang gelak kat Umno sebab suka menipu" kata Selamat ketika ditemui di Muktamar PAS Pusat di Ipoh semalam.

Bekas Setiausaha PAS Kawasan Batu Berendam (kini Bukit Katil), Ramli Dalip pula berkata, tidak pernah ada dalam keahlian PAS Batu Berendam maupun Bukit Katil sejak dari dahulu, individu yang bernama Mansor Shah Gulam.

"Ini betul-betul cerita hindustan, Umno sengaja mencari publisiti murahan mendakwa ahli PAS masuk Umno".

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Bakrin Sidek (gambar) berkata, inilah perangai Umno dan media mengampunya yang suka menipu seluruh rakyat terutama pembaca media tersebut.

"Umno sekarang dalam keadaan terdesak sehingga sengaja mereka-reka cerita yang jelas karut dan tidak ada fakta".

"Saya hairan mengapa Umno sanggup menipu semacam ini sedangkan perkara ini ada 'black and white' PAS boleh semak keahlian kita serta merta, jelas Mansor Shah Gulam ini tiada dalam senarai keahlian kita" kata Haji Bakrin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Utusan Malaysia 15 Ogos lalu menyiarkan berita bahawa 50 ahli DAP cawangan Bachang, 30 ahli Pas Semabok, 20 ahli Pas dan PKR Bukit Baru, serta 60 ahli Pas dan PKR cawangan Peringgit.

Berita itu menyebut bahawa seorang ahli PAS Mansur Shah, 37, berkata, penyertaannya ke dalam UMNO adalah kerana dia sudah hilang kepercayaan terhadap Pas terutama tindakan pemimpin parti itu yang gemar caci mencaci umat Islam daripada parti lain.

‘‘Sehingga kini, Pas terus memainkan isu kafir mengkafir dalam majlis ceramah mereka.

‘‘Isu ini dijadikan senjata oleh Pas untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyertai perjuangan Pas, ujarnya.

Laporan Utusan Malaysia dan Berita Hairan ini jelas tidak tepat di mana nama individu yang terlibat juga tidak sama. Sekali Mansor Shah sekali Mansor Shah Gulam.

Ketua Penerangan PAS Bukit Katil, Khirul Che Salleh berkarta, setahu beliau yang terlibat secara langsung dengan ceramah PAS di seluruh Melaka, isu kafir mengkafir ini sudah puluhan tahun tidak disebut di dalam ceramah PAS, malah sebenarnya ia tidak pernah ujud, hanya Umno sahaja yang tidak faham tentang kandungan ceramah PAS. Jelas sekali kenyataan Mansur Shah itu hanyalah rekaan semata-mata.

Beliau menuntut Utusan Malaysia dan Berita Hairan terutamanya menarik balik laporan tersebut dan menyiarkan berita sebenar bahawa Mansor Shah Gulam bukannya AJK PAS Bukit Katil dan bukannya ahli PAS.

Beliau juga mengharapkan Umno supaya menjaga maruahnya janganlah mengutip orang ditepi jalan dan mengarahkan si pulan itu mengaku sebagai ahli PAS.

"Kalau hendak berpolitik pun biarlah secara professional dan anak jantan" kata Khirul yang juga merupakan Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka.

Comments