KERJA KUAT UNTUK TUMBANGKAN KERAJAAN BN MELAKA - UST GHANI ~ Ref Malaysiakini

Paya Dalam, Ayer Molek : Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman menyeru seluruh rakyat Melaka supaya bangkit bekerja untuk menumbangkan kerajaan BN Melaka pada pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, kerajaan Melaka ternyata gagal mentadbir negeri ini dengan baik sehingga pelbagai masalah timbul yang menyebabkan rakyat semakin tidak selesa sekarang.

"Pentadbiran masjid kucar-kacir, wang masjid pun tak selamat kerana ditadbir oleh Pengerusi dan AJK Masjid yang tidak takut kepada Allah, apa yang dipentingkan ialah nafsu dan kepentingan sendiri".

"Di Selangor ada Setiausaha Masjid yang meletakkan jawatan kerana takut kena audit disebabkan mereka sendiri yang menyelewengkan duit masjid, setelah kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, ada Setiausaha yang menggelapkan duit masjid tidak mahu letak jawatan, bila kita nak panggil juruaudit luar, dia takut dan baru letak jawatan".

"Di Melaka ini apa kurangnya, kalau kita perintah nanti kita akan buat perkara yang sama dedahkan semua penyelewengan Umno dalam apa juga isu" tegas Ustaz Ghani.

Ustaz Ghani juga berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam jangan mendabik dada mengatakan BN akan terus memerintah Melaka sampai bila-bila.

"Siapa sangka Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, khurafat yang menyatakan hanya Umno, BN yang boleh memerintah sudah roboh, rakyat sudah faham, jadi tidak mustahil orang Melaka akan turut sama menumbangkan BN nanti".

"Ali Rustam jangan sombong, kita akan pastikan Pakatan Rakyat menang nanti, dah tak lama dah, lepas kerajaan Pusat kita pegang, Ali Rustam jadi kerajaan pembangkang, nanti baru dia rasa" tambah Ustaz Ghani dengan tegas.

Beliau berkata demikian sewaktu berceramah bersama-sama dengan Ustaz Nasharuddin Mat Isa di Markas PAS Paya Dalam di sini malam tadi.

Comments