INTIPATI BAJET 2009

Berikut adalah intipati Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan keselamatan sosial

Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.

Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 September 2008.

Membasmi kemiskinan

Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.

Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Malaysiakini

Comments