BERI KEMENANGAN PERCUMA KEPADA ANWAR - Ref Malaysiakini

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Melaka, Bahiki Ismail mencadangkan BN supaya tidak meletakkan calon menentang Anwar pada pilihanraya kecil Permatang Pauh. Menurutnya tidak ada gunanya BN meletakkan calon jika BN sendiri tidak yakin untuk menang.

Malah katanya, setakat ini dua orang pemimpin Umno sendiri mencadangkan BN memboikot pilihanraya tersebut iaitu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad.

"BN menyatakan perletakkan jawatan Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh adalah membazirkan wang rakyat kerana SPR terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengadakan pilihanraya kecil, jadi inilah masanya BN mengotakan kata-katanya iaitu menjimatkan wang dengan memberikan kemenangan percuma kepada Anwar, jadi pilihanraya tidak perlu diadakan".

"BN tidak perlu menyusahkan rakyat dengan meletakkan calon pada pilihanraya, bila ada pilihanraya mungkin urusan harian rakyat di sana terganggu sedikit kerana akan ramai yang terlibat dengan kempen, duit rakyat habis untuk kerja-kerja kempen pilihanraya dan juga belanja SPR mengendalikan pilihanraya kecil ini" kata Bahiki yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

BN dilaporkan begitu susah untuk mencari calon yang sesuai untuk menentang Anwar. Malah BN menawarkan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin untuk menjadi calonnya dalam pilihanraya kecil ini. Selain Asri beberapa orang lagi yang menawarkan diri untuk menjadi calon BN ialah bekas calon BN kerusi parlimen Permatang Pauh bagi pilihanraya 2004 dan 2008, Datuk Pirdaus Ismail dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid serta juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong berikutan perletakkan jawatan penyandangnya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi tersebut. Wan Azizah memenangi kerusi ini mengalahkan Pirdaus masing-masing dengan majoriti 13,388 dan 590 undi pada tahun 2008 dan 2004.

Comments