ARIF SHAH MESTI LETAK JAWATAN ADUN ~ Ref Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah yang tewas di tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu mesti meletakkan jawatannya sebagai ADUN.

Jika beliau seorang yang bermaruah beliau mesti berbuat demikian kerana beliau telah ditolak secara total oleh pengundi Permatang Pauh. Bukan sahaja pengundi DUN Penanti dan Permatang Pasir yang menolak beliau bahkan pengundi DUN Seberang Jaya yang diwakilinya sekarang pun telah menolak beliau dengan memberikan undi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dari keputusan rasmi yang diumumkan SPR, Arif Shah telah tewas di kesemua Peti Undi dalam Parlimen Permatang Pauh termasuk DUN Seberang Jaya. Ini membuktikan bahawa pengundi Seberang Jaya sudah hilang keyakinan kepada Arif Shah.

Jika Arif Shah seorang yang bermaruah dan professional maka sudah pasti beliau akan meletakkan jawatan. Malah bagi saya jika Arif tidak mahu meletakkan jawatan, partinya iaitu Dacing Senget mesti meminta beliau berbuat demikian demi imej dan maruah parti Dacing Senget itu.

Namun saya yakin ini tidak akan dilakukan oleh penganut Islam Hadhari dan parti Dacing Senget itu. Ini kerana amalan meletakkan jawatan dan perasaan tanggungjawab terhadap sesuatu isu dan kejadian tidak ada dalam kamus perjuangan parti Dacing Senget. Setelah menang sesuatu kerusi, penganut parti Dacing Senget sudah tentu akan terus memegang jawatan tersebut macam hak mutlak atau harta pusaka mereka.

Sebagai contoh bekas Naib Presiden Umno, Isa Samad yang dibuktikan terlibat dengan rasuah politik, beliau tetap meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Jempol sehingga parlimen dibubarkan. Malah Imam Hadhari parti Dacing Senget pun tanpa segan silu tetap berdiam diri tidak mengarahkan Isa meletakkan jawatan. Bukan Isa sahaja, malah banyak kes seumpama Isa antaranya Zaid Ibrahim, Amid Nordin, Shaharudin Moin dan lain-lain yang berlaku tetapi Imam Dacing Senget terus membiarkan perasuah tersebut memegang jawatan masing-masing.

Lebih malang lagi pemimpin agung Parti Dacing Senget, Imam Hadhari Wal Badawi sanggup melantik pemimpin yang terlibat dengan rasuah politik (politik wang) Zaid Ibrahim menjadi menteri kabinet pula selepas pilihanraya umum lalu. Memang jelas Parti Dacing Senget busuknya bukan hanya di ekor tetapi kepalanya juga sudah buruk dan busuk. Ibarat seekor ikan kalau dah busuk di kepala keseluruhannya kita kena buang.

Inilah perangai pemimpin parti Dacing Senget, tidak bermaruah dan professional dalam berpolitik. Oleh itu marilah seluruh rakyat Malaysia kita berjuang bersama-sama menumbangkan kerajaan parti Dacing Senget ini selewat-lewatnya pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kepada ahli-ahli parlimen parti Dacing Senget silalah menyeberangi ke dalam Parti-parti Pakatan Rakyat agar kerajaan parti Dacing Senget dapat ditumbangkan dan kita bina sebuah kerajaan baru yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Comments