UMNO PERAK, HIDUNG TAK MANCUNG PIPI TERSORONG-SORONG - Ref Malaysiakini

Umno Perak boleh dianggap hidung tak mancung,pipi tersorong-sorong kerana saban hari membuat kenyataan akhbar mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran PAS-Umno sedangkan PAS Perak siang-siang lagi menolaknya. Mengapa Umno Perak begitu tergila-gila ingin berkuasa semula? Tak perlu saya menjawabnya kerana kita semua tahu Umno memang tamakkan kuasa kerana dengan kuasa mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa mengira halal haram dosa pahala.
Hari ini Tajol Rosli buat kenyataan besok Zambery Kadir begitu dua orang bekas Menteri Besar dan bekas Exco ini nampaknya kemaruk betul hendak menjadi kerajaan semula. Macam-macam janji mereka buat, PAS kekal jadi Menteri Besar, ADUN PAS boleh jadi Exco lah dan macam-macam lagi. Umno ini memang tidak boleh dipercayai. Pembelitnya mengalahkan ular. Kalau jumpa Umno dengan Ular lebih baik 'dipukul' Umno dulu berbanding ular.
Bukankah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin sudah berulang kali menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat dan tetap setia dengan kerajaan campuran yang ada sekarang. Umno tidak perlu membuat sebarang tawaran kerana orang PAS telah ditarbiah bahawa harta dunia, pangkat dan sebagainya tidak akan dapat mencairkan iman mereka dan perjuangan menegakkan Islam dan Keadilan akan tetap dipertahankan.
Zambery pula hari ini sekali lagi membuat kenyataan bahawa Umno memberi jaminan tidak akan menganiayai PAS dalam kerjasama antara dua parti itu membentuk kerajaan campuran Perak seperti ditawarkan, kata seorang ahli jawatankuasa Umno Perak.
Zambery Kadir, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor berkata, PAS tidak perlu bimbang dengan saranan pengerusi badan perhubungan Umno, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali."Persefahaman mestilah dengan keadilan. Soal kebimbangan, bukan sahaja dihadapi oleh orang PAS tetapi juga oleh orang Umno.
"Kebimbangan pada peringkat awal adalah perkara biasa dan semulajadi tetapi kita perlu berpandangan positif kerana kedua-dua parti - PAS dan Umno - berteraskan Islam," kata Dr Zambery kepada Malaysiakini.
Umno Perak hari ini dilaporkan mengundang PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan menawarkan wakil parti Islam akan terus menjadi menteri besar. Mohd Tajol berkata, tawaran itu sebagai langkah permulaan ke arah merealisasikan saranan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar dua parti itu dibubarkan bagi menubuhkan parti baru.
"Kalau nak mula kerjasama, gabungan ini boleh dimulakan di Perak. Umno Perak sedia bekerjasama dengan PAS menubuhkan kerajaan yang lebih kukuh kerana kita ada 28 kerusi," katanya.
Umno menguasai 27 kerusi, manakala MCA (1) dan PAS (6) menjadikan jumlahnya 34 daripada 59 kerusi. Pakatan DAP, PKR dan PAS kini memerintah dengan kelebihan tiga kerusi – DAP (18 kerusi) dan PKR (7). Jika menjadi kenyataan, kerajaan campuran BN-PAS akan mempunyai majoriti sembilan kerusi.Tajol Rosli berkata, Umno Perak sedia membenarkan wakil PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terus mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar, manakala keanggotaan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.
Dr Zambery yang juga ketua Umno bahagian Lumut berkata, persefahaman dan kerjasama tersebut merupakan rancangan jangka panjang tetapi perlu bermula dari sekarang.Katanya, isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat badan perhubungan Umno Perak, bulan depan."Kita di peringkat bahagian menyokong usaha tersebut untuk kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Perak," katanya lagi.
Zambery menegaskan, masyarakat bukan Islam di Perak tidak perlu bimbang dengan perkembangan tersebut kerana mereka perlu melihat dari sudut kepentingan dan hak orang Melayu.Katanya, jumlah orang Melayu di negeri itu cuma kira-kira 52 peratus daripada hampir dua juta penduduk.
Begitulah kelicikan Zambery ini cuba bermain politik. Untuk makluman Zambery orang PAS bukan macam Umno kemaruk kuasa. PAS sendiri tidak pernah 'demand' untuk menjadi menduduki kerusi Menteri Besar kerana PAS sedar PAS hanya menang 6 kerusi DUN sahaja. Tetapi atas semangat setiakawan dan ketaatan kepada Ke Bawah Duli Sultan Perak, PAS menerima amanah besar tersebut dengan persetujuan sahabat DAP dan PKR. PAS juga sedar Umno bukan boleh dipercayai sepenuhnya janji mereka.
Sementara itu, ketua penerangan PAS Mahfuz Omar ketika dihubungi Malaysiakini berkata, PAS menolak pelawaan tersebut kerana parti itu lebih selesa dengan Pakatan Rakyat.Katanya, Umno hendak bertemu PAS bukan kerana atas kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam tetapi mereka mahu mendapatkan kuasa semula.
"PAS lebih selesa dengan Pakatan dan oleh kerana itu tidak timbul soal DAP menunggang PAS. Sebaliknya Umno yang mahu menunggang PAS."PAS tidak memerlukan Umno sebagai rakan kongsi kerana tanpa parti itu sekalipun, kami mempunyai kemampuan untuk membangunkan Islam dan orang Melayu," katanya.

Comments