SEPERTI DIDUGA : USUL TERHADAP PM DITOLAK

Seperti diduga usul tergempar hilang keyakinan pada perdana menteri yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat ditolak sebentar tadi. Yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang difailkan oleh ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.Usul itu diserahkan untuk dibahaskan Khamis lalu. Gabungan pembangkang - Pakatan Rakyat - mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ia tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya. Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.

Malaysiakini

Comments