SAIFUL GEMBIRA, RAKYAT MERANA?

Di kala ini, Saiful agaknya sedang bergembira kerana namanya sedang meniti di bibir rakyat Malaysia. Sehinggakan ruang dapur majlis kenduri saudara saya malam tadi begitu sarat dengan gossip yang bertemakan ‘Saiful, Anwar & Liwat’. Tenggelam sudah kisah ‘minyak’ yang beberapa minggu lalu begitu rancak didebatkan oleh kami.

Sebagai insan biasa, saya terasa amat sedih bila nama-nama saudara seagama saya dilemparkan dengan pelbagai pertuduhan yang belum lagi ditentukan kesahihannya. Ada pihak yang menyatakan dakwaan Saiful itu benar dan ada pihak pula yang menyatakan Anwar difitnah. Inilah natijahnya apabila kebanyakan dari kita lebih mudah mempercayai spekulasi daripada mencari jalan untuk menegakkan kebenaran.Lebih malang lagi apabila percanggahan pendapat mufti turut dijadikan modal untuk memenangkan pihak masing-masing.

Sedarlah wahai saudaraku, itu bukan caranya untuk mencari kebenaran. Kita sepatutnya berusaha mencari pahala dan bukannya berusaha menambah dosa kerana nyawa yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita boleh diambil pada bila-bila masa sahaja. Entah esok atau lusa, kita akan dipanggil mengadapNya.

Untuk kebaikan semua pihak dan mengelakkan daripada rakyat terus membuat dosa terpijak, saya nasihatkan agar Saiful pergilah berjumpa dengan mana-mana tokoh agama, mufti atau yang seumpama dengannya.

Jika anda benar-benar di pihak yang benar, anda harus berani menyatakan kebenaran sepertimana anda pergi ke balai polis untuk membuat laporan dahulu. Anda harus berani untuk mengaku samada anda diliwat secara paksa ataupun anda merelakan perbuatan terkutuk itu dilakukan terhadap anda. Jika anda tidak dapat menyediakan saksi, anda perlu bermubahalah terlebih dahulu.

Tidak perlulah acara mubahalah itu disensasikan kerana jika kebenaran yang anda mahukan, jalan yang terbaik ialah dengan anda melakukannya terlebih dahulu sebab anda yang memulakan kisah liwat ini. Anda harus ingat bahawa kebenaran tidak semestinya popular dan yang popular tidak semestinya benar.

Tidak perlu cabar-mencabar dalam kes awak ini.Selepas anda melakukan mubahalah itu, tibalah pula giliran Anwar untuk menjawab mubahalah anda itu. Anwar tidak lagi boleh bertangguh untuk melakukan mubahalah itu kerana ianya akan mengundang reputasi buruk terhadap kerjaya politiknya. Urusan siapa yang benar dan siapa yang salah dalam mubahalah itu akan ditentukan oleh Allah SWT.

Saya sarankan kepada semua pihak agar menghentikan isu ini setelah anda dan Anwar melakukan mubahalah itu. Atas nama Allah SWT, marilah kita semua kembali kepada ajaranNya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga akhirat.

Comments