RASUAH POLITIK SUDAH JADI DARAH DAGING UMNO - Ref Malaysiakini

Presiden Umno berulang kali mengucapkan bahawa beliau akan membasmi rasuah politik (politik wang) dalam Umno. Sejak dari saat mengambilalih tampuk kuasa dari Tun Mahathir sehingga ke hari ini Pak Lah sentiasa konsisten mengatakan bahawa beliau akan membasmi rasuah samada di dalam kerajaan atau pun di dalam 'keramat'nya Umno.

Namun semua itu hanyalah omongan kosong, menanam tebu dibibir mulut sahaja. Rasuah semakin berbarah di dalam negara kita. Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa (CPI) negara kita terus merudum dengan memalukan. Agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis, Jabatan Kastam, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus menjuarai senarai Top 5 dalam 'carta rasuah negara'. Mengapa ini terjadi? Semua ini tidak lain tidak bukan adalah kerana Malaysia sekarang ini diperintah oleh sebahagian besarnya pengamal-pengamal rasuah samada terlibat semasa kempen pilihanraya umum ataupun ketika pemilihan parti Umno dan lain-lain.

Walaupun ditubuhkan pelbagai jawatankuasa seperti jawatankuasa disiplin, pemantau rasuah dan sebagainya ianya sedikitpun tidak digeruni oleh pengamal-pengamal rasuah politik di dalam Umno kerana 'taukeh-taukeh' paling atas pun semua hidung belang yang mengamalkan rasuah. Manakan tidak setiap pilihanraya umum ramai pengundi-pengundi menerima wang tunai, projek-projek segera guna untuk memastikan mereka ini mengundi BN.

Begitu juga semasa pemilihan Umno ada pemimpin yang membelanjakan ratusan ribu malah mungkin jutaan semata-mata digunakan untuk berkempen dan merasuah para perwakilan yang akan mengundi calon-calon yang bertanding di peringkat cawangan, bahagian sementelahan pula di peringkat pusat. Pelbagai bentuk rasuah dijolok kepada para perwakilan samada dalam bentuk wang tunai, pakej lawatan keluar negeri atau dalam negeri.

Rasuah politik atau politik wang ini sedang hangat berlaku sekarang iaitu ketika persidangan mesyuarat Umno di peringkat cawangan sedang berlangsung. Sudah kedengaran pihak-pihak yang tidak berpuashati disebabkan dakwaan mereka ada ahli-ahli cawangan yang dirasuah oleh calon-calon atau baruah-baruah calon-calon yang bertanding.
Anak Dara pun terlibat dengan rasuah?

Semalam Ketua bahagian Pengerang, Harun Abdullah mendakwa beliau mendapat kurang pencalonan kerana pengaruh politik wang ketika mesyuarat lebih 20 cawangan di bahagian itu.

Sehubungan itu, Harun berkata, beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu kepada Lembaga Disiplin Umno.Setakat mesyuarat 25 cawangan, Harun mendapat tiga pencalonan iaitu dari cawangan Kampung Pengerang, Tanjung Surat dan Kampung Baru Teluk Rumania.

Sementara menteri pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga naib ketua bahagian itu, mendapat 22 pencalonan untuk mengetuai bahagian itu.Daripada lapan lagi cawangan yang belum bermesyuarat, Harun mesti mendapat empat lagi pencalonan bagi melayakkannya mempertahankan jawatan tersebut.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat mendakwa, seorang pemimpin bahagian berkenaan telah membahagikan wang kepada ahli Umno untuk mendapatkan pencalonan."Ada yang dapat RM50, RM100 malah RM1,000... mereka beri kepada Pemuda dan Puteri tetapi orang dewasa susah sedikit.
Harun perlu 4 lagi pencalonan

"Beliau (pemimpin tersebut) juga membuat surat layang untuk memburuk-burukkan saya," katanya lagi.

Selain itu, Harun juga mendakwa, pemimpin tersebut juga membawa orang-orangnya untuk membuat kacau semasa mesyuarat cawangan diadakan.Beliau berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya "terpaksa menghadapi politik yang begini kotor"."Politik wang sebegini, jika tidak dibendung, akan merosakkan Umno," tambahnya.

Bagaimanapun, Harun percaya, beliau mampu mendapatkan empat lagi pencalonan untuk layak mempertahankan jawatannya.Sementara itu, Azalina gagal dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan tersebut.Malaysiakini juga telah menghantar SMS kepada Azalina dan masih menunggu reaksi beliau.

Maka terbukti sekali lagi bahawa rasuah politik (politik wang) ini tidak dapat dibenteras di dalam Umno kerana rasuah sudah menjadi DARAH DAGING Umno dan tidak dapat lagi dibersihkan.

Comments