PERALIHAN KUASA : MUHYIDDIN DAN KU LI KECEWA?

Lain benar bunyinya kenyataan Muhyiddin ketika mengulas keputusan Imam Hadhari yang menunggu sehingga 2 tahun untuk menyerahkan kuasa kepada penggantinya.

Naib Presiden UMNO itu, berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya lagi.

Oleh yang demikian, katanya, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya.

Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.
Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.
Jelas sekali dari kenyataannya itu beliau kecewa kerana Imam Hadhari tidak mahu melepaskan jawatannya dalam masa terdekat sedangkan beliau sudah ditolak secara terang-terang oleh ahli akar umbi Umno dan juga rakyat pada Plihanraya Umum ke 12 lalu.

Semua orang tahu bahawa Muhyiddin telah lama memasang angan-angan untuk menduduki sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Presiden kalaupun bukan Presiden selepas pengunduran Imam Hadhari.

Muhyiddin mungkin merasakan bahawa apa-apa pun boleh terjadi dalam masa 2 tahun. Malah Muhyiddin sudah tentu arif dengan sepak terajang politik Umno di mana kebiasaannya Perdana Menteri baru akan melantik Timbalan Perdana di kalangan Naib Presiden yang paling lemah atau baru. Najib kemungkinan besar tidak melantik Muhyiddin kerana Muhyiddin adalah Naib Presiden paling senior dan sudah pasti ianya mampu menggugat kedudukan Najib jika dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Kemungkinan besar Najib akan memilih sepupunya iaitu Hishamuddin Hussein atau Naib Presiden baru yang akan dipilih pada pemilihan Umno pada Disember ini.

Selain Muhyiddin seorang lagi yang telah lama mengidam jawatan Presiden ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang sejak selepas Pilihanraya Umum lalu sibuk ke sana ke mari berkempen. Namun dijangkakan Ku Li akan sekali lagi kempunan disebabkan sistem demokrasi di dalam Umno sudah lama berkubur. Ku Li mesti mendapat sekurang-kurangnya 30 % pencalonan dari bahagian-bahagian Umno bagi membolehkan beliau mencabar Imam Hadhari. Ini mungkin sesuatu yang mustahil kerana Umno negeri-negeri sudah pun membuat keputusan (seolah-olah mengarahkan Umno Bahagian) untuk mencalonkan Pak Lah sebagai Presiden secara sebulat suara. Setakat ini 3 negeri sudahpun sebulat suara mencalonkan Pak Lah iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Comments