MUZAKARAH TAK PERLU ORANG TENGAH KALAU UMNO IKHLAS - Sumber Malaysiakini

Muzakarah Umno-PAS tidak memerlukan orang tengah sebagai perantara kalau Umno benar-benar ikhlas. Mengapa sebelum ini Umno tidak menjawab surat PAS yang telah lama dihantar untuk bermuzakarah.
Mengapa baru sekarang terhegeh-hegeh ajak muzakarah setelah Umno/BN kalah di 5 buah negeri. Baru sekarang sedar kedaulatan Melayu terhakis, agama Islam ternoda dan sebagainya.

Sedangkan sebelum ini siapa yang menghumban Bahasa Melayu dari sekolah dan IPT. Siapa yang menggadaikan biasiswa untuk bumiputera, siapa yang menyokong IFC dan banyak isu yang jelas membuktikan Umno tidak membela Islam dan Melayu.
Saya ingin nyatakan tidak perlu Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) menjadi 'orang tengah' bagi menjayakan muzakarah antara Umno dan PAS dalam membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam.
Kalau pemimpin Umno ikhlas hubungi sahaja Setiausaha Agong PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar. Jawablah surat PAS yang dihantar puluhan tahun dahulu. Mungkin surat itupun hilang. Setiausaha Agong PAS dan Setiausaha Umno silih berganti tetapi Umno masih enggan bermuzakarah. Kalau ikhlas tidak perlu buat kenyataan akhbar terus sahaja tentukan masa dan tempat. Sudah pasti pimpinan PAS akan pertimbangkan kerana minta untuk bermuzakarah dari dahulu lagi ialah PAS. Masalahnya Umno yang buat 'dek' sahaja.
Laporan Malaysiakini hari ini - Ketua Umum BBPM Osman Abu Bakar berkata, BBPM sedia menjadi orang tengah demi perpaduan parti politik ini. "Adalah menjadi objektif utama BBPM untuk melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini mencari kebaikan dan perdamaian supaya keadaan politik negara lebih mantap.
"Dengan itu, dunia luar akan memberi tumpuan kepada politik Malaysia dan membawa kepada pelaburan yang banyak sekaligus, meningkatkan ekonomi negara," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kesediaan PAS bermuzakarah dengan Umno, melalui pihak ketiga. Itu pandangan Tuan Guru. Saya rasa pandangan pemimpin lain mungkin berbeza. Terpulang kepada pimpinan untuk membuat keputusan.
Di peringkat akar umbi pula ada ahli yang setuju PAS bermuzakarah dengan Umno manakala ramai juga yang tidak bersetuju. Mereka yang tidak bersetuju mungkin serik dengan perangai Umno yang jelas bongkak dan tamak kuasa. Ramai yang mungkin tidak dapat memaafkan Umno yang memenjarakan tahanan ISA tanpa bicara sehingga nak ziarah anak yang sakit tenat pun tak boleh. Ramai yang tersiksa dengan kenaikan harga minyak dan barangan. Tidak kurang yang dizalimi dalam bentuk-bentuk lain.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan syarat supaya pihak ketiga menjadi orang tengah sebagai salah satu jaminan bahawa PAS tidak diperangkap oleh permainan politik UMNO sebagaimana yang pernah dialami sebelum ini sehingga wujud keretakan besar dalam PAS.
Tuan Guru sendiri merasai bagaimana Umno mempermainkan PAS dengan 'menendang' PAS keluar dari Barisan Nasional tahun 1977 dahulu.

Comments