MUZAKARAH DENGAN UMNO : AHLI PAS SOKONG PIMPINAN PUSAT

Pimpinan dan ahli-ahli PAS akar umbi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden PAS tentang isu perbincangan PAS-Umno. Bagi mereka tidak ada salahnya pimpinan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno apatah lagi untuk kedaulatan Islam dan bangsa Melaka.

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri, Hajah Kintan Man berkata, Presiden PAS dan saf kepimpinan lain sudah matang dalam arena sepak terajang politik di Malaysia. Kita menaruh keyakinan bahawa apa juga tindakan yang diambil oleh Presiden dan kepimpinan atasan tidak akan lari dari prinsip perjuangan PAS iaitu meletakkan Islam sebagai asas dan dasar kerjasama dan perpaduan.

"PAS sendiri sebenarnya sudah lama mencadangkan muzakarah PAS-Umno malangnya Umno sendiri sebelum ini tidak pernah serius untuk mengadakan pertemuan. Sekarang Umno sudah sakit tenat mungkin mereka memerlukan bantuan PAS, maka mereka seolah-olah beriya-iya untuk bertemu" tegas Hajah Kintan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Bagi Ahmad Rafai Hassan dari Ayer Molek pula menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan samada ingin mengadakan pertemuan dengan Umno atau sebaliknya. PAS, katanya bukanlah parti tertutup seperti Umno yang begitu susah untuk berbincang masalah-masalah Islam dan kedaulatan Melayu. PAS sekarang ini sudah diterima oleh semua lapisan masyarakat samada orang Melayu dan bukan Melayu. Jadi PAS boleh bertemu dan berbincang dengan sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit, agama dan ideologi.

"Saya yakin pimpinan PAS mempunyai kebijaksanaan untuk untuk membuat keputusan, malah mereka juga mempunyai pengalaman luas dengan Umno yang jelas seringkali tidak ikhlas dalam apa juga perbincangan" kata Rafai.

Ahli PAS Cawangan Bukit Bayan, Mastura Hassan, pula menyarankan pimpinan PAS supaya belajar dari pengalaman lalu di mana PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional. Kita harap PAS tidak ditipu untuk kali kedua.

"Bila Umno 'sakit' Umno akan cari PAS tetapi bila Umno gagah kembali, PAS dibuang bagaikan penyapu buruk, ini pengalaman pahit PAS masa lampau yang perlu diingati sampai bila-bila. Kena ingat simpulan bahasa jangan dipatuk ular 2 kali dalam lubang yang sama".

"Perbincangan mesti menjuruskan kepada masalah yang dihadapi rakyat dan ianya mesti dibuat secara terbuka di mana rakyat boleh mendengar dan menontonnya. Selain itu kedua-dua pihak mesti berlapang dada menerima kebenaran, jangan nanti perbincangan hanya tinggal nama sahaja tiada tindakan dan hasilnya kosong" tegas Mastura.

Ahli PAS cawangan Ayer Keroh, Alzafir Mohd Nor pula berpendapat pimpinan PAS mesti tegas menyatakan pendirian dan pandangan PAS tentang permasalahan Islam dan orang Melayu jika pertemuan dengan Umno menjadi kenyataan.

"Kita tidak mahu pimpinan kita tunduk dengan kemahuan dan pendirian Umno yang sememangnya cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan pertemuan ini medan untuk menonjolkan diri bahawa Umno lah parti perpaduan yang berusaha untuk menjamin kedaulatan Islam dan Orang Melayu.

Comments