Saya amat kesal kerana kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah banjir kilat di beberapa tempat dinegeri ini terutama di Kampung Durian Daun Dalam, Kampung Tun Razak dan lain-lain. Minggu lepas sekali lagi beberapa tempat di negeri ini digenangi air.
Lebih memalukan kawasan perindustrian Batu Berendam iaitu jalan di hadapan Kilang Infineon juga ditenggelami air. Ini amat memalukan negeri ini dimata para pelabur luar yang mendirikan kilang di kawasan terbabit.
Seperti yang kita ketahui penduduk di tempat-tempat terbabit seringkali dihantui perasaan ketakutan dan trauma pada setiap kali hujan lebat turun kerana acapkali banjir akan melanda kawasan mereka.
Apa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi terbabit sehingga membiarkan penduduk kampung terbabit terpaksa mengalami penderitaan akibat banjir sejak bertahun-tahun lamanya.
Mana perginya janji kerajaan negeri dan wakil rakyat (pada setiap kali pilihanraya ) yang sering berjanji untuk menyelesaikan masalah ini. Ianya bukan sekali berlaku malah telah berpuluh-puluh kali berlaku sejak bertahun-tahun lamanya. Tidak kasihankah pemimpin kerajaan kepada penduduk terbabit yang terpaksa mengusung barangan mereka ke tempat selamat pada setiap kali banjir melanda kampung mereka.
Lebih teruk lagi banyak harta benda mereka musnah akibat tidak dapat diselamatkan pada setiap kali banjir melanda. Saya menyeru Kerajaan dan agensi-agensi terbabit segera menyelesaikan masalah ini dengan mengkaji sistem perparitan dan saliran yang mungkin tersumbat, terlalu kecil tidak dapat menampung air hujan lebat yang banyak, mengkaji projek-projek yang dijalankan tanpa kajian terperinci yang mungkin menyebabkan terjadinya banjir ini.
Selain itu kerajaan negeri mesti sanggup mengeluarkan bajet yang besar bagi mengatasi masalah ini. Kerajaan jangan hanya sanggup mengeluarkan belanja untuk projek pelancongan dan promosi negeri Melaka sahaja tetapi kedekut untuk berbelanja bagi kesejahteraan rakyat.
Khirul Che Salleh
Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka
Comments