KERAJAAN NEGERI GAGAL ATASI MASALAH PENGANGGURAN DI KALANGAN SISWAZAH

Statistik yang dikeluarkan oleh YAB Ketua Menteri Melaka di dalam blognya dan dipetik oleh Sinar Harian hari ini berkaitan dengan pengangguran membuktikan bahawa bilangan penganggur di negeri ini masih ramai iaitu keseluruhannya 4,800 orang. Lebih menyedihkan kira-kira 3,200 orang atau 66.7 % penganggur adalah lepasan Institut Pendidikan Tinggi samada Awam atau Swasta.
Saya merasakan angka ini adalah besar kerana negeri Melaka sendiri penduduknya tidaklah ramai berbanding dengan negeri-negeri lain. Jadi angka 3,200 lepasan IPT ini adalah tinggi. Saya kesal kerana kerajaan negeri gagal menangani masalah pengangguran terutama membabitkan lepasan IPT ini. Kerajaan Pusat dan mungkin kerajaan negeri melalui PTPTN dan wang Yayasan Negeri membelanjakan sejumlah wang sangat besar untuk pelajar-pelajar terbabit dalam bentuk pinjaman.

Maka jika sekiranya mereka tidak bekerja sudah tentu pembayaran balik pinjaman PTPTN ini akan tergendala. Saya juga kesal kerana kerajaan Melaka membina pusat pelacongan, pusat reakreasi, menjalankan program bersifat hiburan dan sebagainya dengan belanja besar (membazir duit rakyat) atas alasan untuk memberikan peluang pekerjaan. Tetapi statistik yang diumumkan sendiri oleh YAB Ketua Menteri ini membuktikan projek-projek dan program-program tersebut tidak memberikan banyak faedah untuk penganggur apabila bilangan mereka masih besar.Antaranya projek seperti Eye On Melaka, Pesta Sungai Melaka dan sebagainya.
Saya mencadangkan kerajaan negeri memupuk semangat ingin menceburi bidang perniagaan kepada semua penganggur terutama lepasan IPT ini supaya mereka tidak hanya berminat untuk makan gaji sedangkan peluang pekerjaan semakin terhad lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara yang semakin teruk sekarang. Kerajaan Negeri dicadangkan supaya menyediakan latihan, 'workshop' dan bantuan modal kepada penganggur-penganggur ini bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan.

Perniagaan-perniagaan berasaskan IT, kemahiran, peruncitan dan sebagainya memang sesuai untuk Siswazah dan ianya sangat berdaya maju. Selain itu kerajaan negeri mesti memberikan penerangan dan hebahan tentang program-program perniagaan dan peluang-peluang untuk memulakan perniagaan.

Antaranya Skim yang dianjurkan PROSPER, Tekun, MARA dan sebagainya. Kita melihat bahawa sebenarnya ramai dikalangan penganggur-penganggur ini terutama siswazah berminat untuk berniaga tetapi masalah besar mereka ialah mereka tiada pengalaman dan modal. Jadi sudah sampai masanya kerajaan negeri memantap lagi program melahirkan usahawan ini demi untuk membasmi pengangguran.

Comments