Dr Mahathir (Dr M) bersuara lagi. Kali ini beliau memperkatakan tentang isu liwat yang mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Jelas sekali Dr M masih berdendam dan bermusuh dengan DSAI. Apa sahaja DSAI buat semuanya tak betul dan semua tuduhan kepada DSAI acapkali disokong oleh Dr M.
Dalam Malaysiakini semalam Dr M dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan tidak begitu bodoh untuk menuduh DSAI meliwat pembantunya.
Katanya lagi, sudah tentu kerajaan akan mencipta cerita yang lebih berkredibiliti jika mahu membuat konspirasi terhadap DSAI. Maknanya kalau kerajaan hendak memerangkap DSAI sudah tentu kerajaan mencipta cerita yang lebih logik dan diterima rakyat bukannya isu liwat. Dengan lain perkataan Dr M seolah-olah yakin memang DSAI meliwat budak Saiful tu.
Beliau juga mengulang balik sejarah 1998 di mana katanya dua orang berjumpa dengannya menceritakan bahawa mereka diliwat oleh DSAI. Tetapi katanya mereka berdua tidak mahu membuat laporan dan menjadi saksi di Mahkamah.
Salah seorang dari mereka, kata Dr M berjumpa dengan Bekas Imam Besar Masjid Negara ( Ustaz Taib Azzamudin- Ahli Parlimen Baling sekarang) untuk mendapatkan nasihat dari segi agama.
Itulah pandangan Dr M yang jelas ingin menyokong laporan yang dibuat oleh Saiful pada 28 Jun bahawa DSAI meliwatnya.
Bagi saya, tidak hairan kalau Dr M mengiyakan perkara ini, kalaupun ia tidak benar sekalipun. Dr M pasti takut kalau-kalau DSAI ditakdirkan menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Rakyat. Sudah tentu Dr M akan diheret ke Mahkamah kerana beliau antara yang terlibat secara langsung dengan kes seperti yang di dakwa oleh DSAI. Malah sehingga kini Dr M sendiri tidak pernah disapina oleh mahkamah dalam apa juga kes seperti kes liwat DSAI, Kes Eric Chia dan lain-lain. Begitulah kebalnya Dr M. Kekebalan ini dijangka akan berakhir jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Ini yang paling ditakuti oleh Dr M dan pemimpin-pemimpin Umno/BN yang merasakan mereka ada membuat kesalahan.
Semua orang tahu bahawa sesiapa yang bersalah sudah tentu takut untuk diadili dan dibicarakan. Sebab itu pemimpin mana-mana kerajaan yang membuat kesalahan amat takut untuk kehilangan kuasa.
Comments